KHABAR duka pelakon Zamarul Hisham dikejarkan ke hospital akibat sesak nafas secara tiba-tiba ketika menjalani penggambaran sebuah drama di Port Dickson mengejutkan para peminat.
Isterinya, Diana Rafar, mendedahkan aktor berusia 54 tahun masih dipantau doktor dan telah dipindahkan ke sebuah perubatan swasta.
Malah katanya, dalam hantaran Insta Story, Diana berkata Zamarul sedang menjalani prosedur diagnostik angiogram bagi untuk mengesan penyempitan atau penyumbatan pada jantung.
"Masya-ALLAH pengalaman yang baru, Alhamdulillah ala kullihal. Benda yang menakutkan tetapi saya mendapat pengalaman yang baharu.
"Saya mohon doa semua, Abang sedang menjalani angiogram.
"Moga-moga hari ini, selepas angiogram dapat check sama ada 'blockage' atau tidak.
"Mana tahu dengan izin ALLAH berkat doa orang ramai memang tiada 'blockage'. Masya-ALLAH, tabarakallah. Mohon doakan ya," ujar Diana.
Beliau dalam hantaran lain berkongsi maklumat terkini Zamarul. Masih di Unit Rawatan Rapi (ICU), pelakon Potret Mistik dan Blok 404 itu dilaporkan stabil.
"Saya hendak ucapkan ribuan dan jutaan terima kasih atas segala doa, kata semangat, dan mesej diterima tak sempat dibaca lagi. Maaf banyak-banyak Diana memang sibuk menguruskan abang (Zamarul) selama dua hari ini.
"Semalam pindahkan abang dari ICU Hospital Port Dickson ke hospital yang berdekatan dengan rumah.
"Buat masa ni abang masih dalam ICU dan dalam keadaan stabil, doktor masih dipantau abang supaya mendapat rehat yang secukupnya sebelum mendapatkan rawatan selanjutnya.
"Keep on doa abang moga terus sihat dan boleh berkarya lagi," kongsinya.
Dalam masa yang sama, Diana juga meluahkan terkejut dan sedih dengan apa yang terjadi. Lebih-lebih lagi mengenali suaminya yang sentiasa aktif.
"Sedih sangat sebab tidak pernah tengok dia sakit. Selama ini @zamarulhisham93 seorang yang cergas, kuat, happy dan rajin tidak pandai duduk diam.
"Semua benda dia nak buat sendiri, tiba tengok abang kena macam ni memang tak duga betul! Mestilah Diana panik dan sekejap jiwa!
"Memang dia terlalu penat sangat, tidur pun tidak cukup.
"Sedih baca komen dan terharu dengan rakyat Malaysia yang ambil berat. ALLAH sahaja yang dapat balas jasa baik kalian semua, aamin," kongsinya.
Terdahulu, Zamarul dikejarkan ke Hospital Port Dickson, Negeri Sembilan, pukul 2 pagi Khamis susulan sesak nafas.
Diana kebetulan berada di sana menemani Zamarul dan anak-anak sempat mengiringi suaminya ke hospital.
Sumber: Instagram