USAHAWAN dan selebriti terkenal, Noor Neelofa memohon agar orang ramai menitipkan doa yang terbaik untuk adik perempuannya, Ameera Khan yang sedang hangat diperkatakan bersama aktor Indonesia, Jefri Nichol.
Memetik laporan OhBulan!, ibu kepada dua cahaya mata itu sudah menjalankan tanggungjawabnya sebagai kakak dalam menasihati Ameera.
"Sebenarnya tidak elok untuk saya bercakap mengenai perkara ini. Saya tak nak komen pun.
"Tetapi saya sudah lakukan bahagian saya dan tahu apa yang sesuai untuk dilakukan terhadapnya (Ameera),"ujarnya.
Pada masa sama, pemilik nama sebenar, Noor Neelofa Mohd Noor, memohon supaya netizen berhenti daripada terus mengecam adiknya itu.
"Saya ingin meminta kepada semua janganlah kecam, menulis yang buruk. Kalau sekalipun anda suka atau tidak suka, tolonglah selitkan doa yang baik-baik.
"Susunan dan perancangan ALLAH itu boleh diubah menjadi sesuatu yang baik. ALLAH susunkan yang baik dengan doa yang terbaik.
"Kami sesama adik-beradik, kami nak yang terbaik untuk kami semua.
Ambil cakna
Pun demikian, beliau sekeluarga tetap mengambil cakna dengan setiap teguran yang diberikan.
Cuma kata isteri PU Riz itu, mereka memilih untuk tidak dijelaskan kepada umum dan cukup hanya keluarga mengetahuinya.
"Benda ini tidak mengganggu saya langsung, alhamdulillah. Tetapi bukan bermaksud tidak peduli apa orang lain tegur dan nasihat.
"Kami ambil cakna dan benda itu saya rasa tak perlu didedahkan di umum apa yang kami cakap atau bincang. Cukup sekadar kami adik-beradik dan mak ayah.
"Semestinya kami ambil peduli dengan cara kami tersendiri. Walaupun di mata orang belum cukup bagus, tetapi insya-ALLAH kami tahu (apa yang terbaik untuk dia).
"Sekarang ini, doa adalah yang paling terbaik," ungkap Neelofa lagi.
Terdahulu, Ameera menerima kecaman hebat selepas Jefri memuat naik video yang memaparkan lelaki berkenaan sedang mencium pipinya.
Neelofa sebelum itu menerima Anugerah Wanita Inspirasi sempena The Muslim World Women’s Summit: Voices of H.E.R Festival dan Anugerah Ibu Zain 2025 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, pada malam Rabu.
Selain beliau, penerima anugerah berprestij tersebut ialah Datuk Nicol Ann David (Anugerah Voices of H.E.R), Datuk Pandelela Rinong Pamg (Anugerah Wanita Kesukanan) dan Cik B (Anugerah Wanita Muda).
Untuk rekod, The Muslim World Women’s Summit: Voices of H.E.R Festival dan Anugerah Ibu Zain 2025 telah dirasmikan oleh YAB Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.