KEJAYAAN sesebuah syarikat bukanlah sesuatu yang dilihat mudah pada mata kasar.
Dalam dunia perniagaan yang penuh cabaran, kisah kejayaan First Grade Resources Sdn. Bhd. bukan sekadar cerita biasa.
Dari hanya RM1,000 modal permulaan, kini syarikat ini berkembang menjadi empayar OEM yang menjana jualan tahunan RM20 juta dan mensasarkan RM100 juta menjelang 2025.
Pengasasnya, Zulkifli Yusop atau mesra disapa Haji Zul, seorang yang begitu gigih dan berani mengambil risiko dengan keluar dari zon selesa.
Beliau sebelum itu pernah bekerja sebagai jurujual komputer sebelum mengambil keputusan untuk membina perniagaan sendiri.
Dengan latar belakang dalam bidang Ekonomi dari UUM, anak kelahiran negeri jelapang padi itu memulakan langkah dengan menjual minyak wangi pada tahun 2007.
Dari seorang stokis, beliau mengambil langkah berani mencipta minyak wangi sendiri dan dalam masa tiga minggu, keuntungan mencecah RM80,000.
"Dari situ, jenama First Grade Perfumes lahir. Namun, ia tidak terhenti di situ. Syarikat ini turut menghasilkan pelbagai produk seperti krim pelangsingan, losyen badan, dan minuman kesihatan seperti CoCoa Collagen.
"Walaupun pernah bekerjasama dengan kilang luar, namun kami pernah menghadapi cabaran apabila produk yang dihasilkan tidak memenuhi standard.
"Dari situ, First Grade mengambil keputusan untuk membangunkan formulasi sendiri dengan bantuan pakar kimia dan menjalankan ujian makmal yang ketat," jelasnya.
Kini, syarikat berkenaan telah menghasilkan lebih 5,000 produk OEM termasuk jenama popular seperti Cassa (produk rambut), Bubble Groove (penjagaan kulit), dan Tok Babah (minuman kesihatan).
Mereka juga sedang bersedia menembusi pasaran antarabangsa seperti Brunei, Uganda, dan Filipina.
Berpegang pada prinsip perniagaan tanpa hutang, kilang bernilai RM25 juta itu dibina sepenuhnya menggunakan dana syarikat tanpa pinjaman bank.
Bahkan, ada pihak menawarkan RM40 juta untuk membeli kilang tersebut, tetapi Haji Zul kekal teguh dengan visinya.
"Dahulu hanya mempunyai empat pekerja, kini First Grade memiliki 190 kakitangan di ibu pejabat mereka di Jitra, Kedah.
"Dengan perkhidmatan profesional dan produk berkualiti tinggi, syarikat ini berjaya mengubah stigma terhadap OEM Bumiputera.
Kilang berteknologi tinggi
Syarikat berkenaan turut menggunakan selebriti dan influencer untuk memperluaskan jenama mereka. Antaranya, Faiz, seorang jurujual agresif dan pelakon Shaheizy Sam, antara yang membantu meningkatkan kesedaran jenama ini.
Demi memenuhi permintaan yang semakin meningkat, First Grade melabur RM25 juta bagi membangunkan kilang baharu di Jalan Junjung, Kedah.
Kilang berteknologi tinggi ini mampu menghasilkan 50,000 unit produk seminggu, melonjakkan kapasiti pengeluaran syarikat ke tahap lebih tinggi.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Mukhlis Zulkifli,"Kami mahu memberikan yang terbaik kepada pelanggan dan memastikan produk kami kekal berkualiti tinggi.
"Dengan kilang ini, proses pembuatan menjadi lebih efisien dan pantas," ujarnya.