Ramadan lebih bermakna! TV AlHijrah sajikan program istimewa sepanjang bulan mulia. 'Dari Jalan taubat ke Tadarus On The Go'

Iklan

RAMADAN sudah tiba, dan suasana penuh keberkatan ini semakin dirasai di seluruh negara.

Seiring dengan kedatangan bulan mulia ini, TV AlHijrah telah melancarkan program khas Ramadan & Syawal 1446H/2025 yang bakal memberikan pengisian bermakna kepada penonton. Majlis pelancaran itu telah berjaya berlangsung dalam suasana penuh bermakna dan dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Bin Haji Mokhtar.

Iklan
Iklan

Hadir sama dalam majlis tersebut adalah Pengerusi TV AlHijrah, Mohd Khair Bin Ngadiron, Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Bin Harris, barisan kepimpinan stesen itu, para asatizah, personaliti serta wakil daripada Persatuan Kebajikan OKU Pendengaran KL Selangor (PKOPKS) dan Persatuan Orang Pekak Negeri Sembilan (NESDA).

Dengan tema Ramadan: Merindui Taubat Hamba-Nya, Syawal: Istiqamah Cahaya Ketakwaan, TV AlHijrah terus berusaha menawarkan kandungan Islamik berkualiti tinggi untuk membimbing masyarakat menghayati bulan mulia ini dengan lebih baik.

Iklan

Dalam ucapannya, YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im menekankan bahawa TV AlHijrah bukan sekadar stesen televisyen biasa, tetapi juga medan dakwah penting yang mendidik masyarakat dengan ilmu-ilmu Islam serta menyampaikan berita sahih.

Beliau turut menegaskan kepentingan Stesen penyiaran tersebut dalam menyesuaikan diri dengan perubahan zaman dan teknologi.

Iklan

"Dalam dunia serba digital ini, TV AlHijrah perlu lebih kreatif dalam penyampaian dakwah agar lebih dekat di hati masyarakat, terutama generasi muda yang semakin cenderung kepada media sosial,” katanya.

Jadi, apa yang menarik untuk tahun ini? TV AlHijrah telah menyusun pelbagai program khas seperti Peristiwa Wanita Akhir Zaman, sebuah rancangan interaktif yang membincangkan isu-isu berkaitan wanita; Tadarus On The Go, sesi tadarus al-Quran secara langsung setiap malam bersama qari pilihan; dan Jalan Taubat, yang mengangkat kisah perjalanan rohani individu dalam mencari keampunan dan hidayah.



Keberkatan Ramadan

Selain itu, ada juga program lain seperti Qalbun Saleem, Cinta Ilmu Istimewa Ramadan dan Khatam Ramadan 1446H, yang semuanya bertujuan untuk menyemarakkan lagi suasana Ramadan dan Syawal di kalangan penonton.

Sebagai penutup, Menteri Agama turut mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk memanfaatkan peluang keberkatan Ramadan kali ini.

"Ramadan bukan sekadar bulan berpuasa, tetapi juga bulan untuk kita memperbaiki diri, menguatkan ukhuwah dan menjadikan Islam sebagai pedoman kehidupan seharian,” ujarnya.

Jadi, jangan lupa untuk mengikuti semua program menarik Ramadan & Syawal 1446H di TV AlHijrah!

Anda boleh menontonnya di saluran TV AlHijrah, aplikasi AlHijrah Plus, media sosial rasmi mereka serta portal AlHijrah Online.