MUNGKIN bagi sesetengah orang bersin itu memalukan. Apatah lagi apabila mengeluarkan bunyi yang kuat dan menarik perhatian orang ramai.
Jadi, tidak hairan jika ada yang sanggup menahan dari bersin atau berlari ke tempat lain semata-mata untuk melakukan perbuatan itu.
Bagi anda yang selalu berbuat demikian harus fikir dua kali kerana perbuatan menahan bersin ini boleh menjejaskan kesihatan kita tau sebenarnya!
Seorang pakar perubatan menerusi Instagramnya, Dr Christabel menceritakan keadaan seorang gadis yang pemalu berdepan kesukaran bercakap dan penglihatannya menjadi kabur serta merta disebabkan oleh perbuatan menahan bersin.
Ketika kejadian, beliau sedang bekerja di sebuah pejabat. Akibat malu rakan sekerja mendengar beliau bersin, gadis itu terus bergegas ke tandas namun ditemui rebah apabila tiba di sana.
Berdasarkan pemeriksaan lanjut, gadis ini sebenarnya mengalami strok akibat perbuatan menahan bersin. Beliau juga mempunyai tabiat menutup mulut dan hidung hinggakan bersin itu dilepaskan ke bahagian ‘dalam’ semula.
Tanpa disedari, tindakan tersebut memberikan tekanan kepada pembuluh di bahagian mata, hidung dan juga otak.
Paling mengejutkan, gadis ini sempat lumpuh seketika sebelum dia berusaha menjalani proses fisioterapi untuk menyembuhkan kesihatannya semula. Namun begitu, mujurlah pembuluh yang pecah itu tidak terlalu serius, maka peluang untuknya kembali sembuh seperti sediakala masih ada.
Tegas Dr Christable, perbuatan menahan bersin boleh menyebabkan pecah gegendang telinga, tekak, diafragma serta menjejaskan sistem ketahanan tubuh. Paling teruk, ia boleh menyebabkan hidup anda berakhir sekiranya berlaku komplikasi di bahagian otak.