PELAKON dan usahawan, Wawa Zainal menyambut ulang tahunnya yang ke-34 dengan cara yang berbeza. Bukan sekadar meraikan bersama keluarga, tetapi wanita cantik manis itu memilih untuk berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan.
Di dapur, anak kelahiran Sabah nampk sibuk membungkus beg makanan dengan penuh teliti. Beras, telur, susu pekat manis, biskut, roti, semuanya disusun dengan rapi. Tak lupa, ibu kepada empat cahaya mata itu juga menyelitkan sebiji kek kecil dan wang tunai buat penerima.
Baginya, tiada yang lebih membahagiakan selain melihat senyuman orang lain. Ulang tahun tersebut bukan sekadar tentang bertambahnya usia, tetapi bagaimana beliau dapat memberi lebih makna dalam hidupnya dan hidup orang lain.
"Alhamdulillah terima kasih sudi terima kek hari kelahiran Wawa," tulisnya menerusi kapsyen di Instagram miliknya.
Senyum syukur
Di sekitar kawasan kediamannya, Wawa turun sendiri mengedarkan beg makanan kepada mereka yang memerlukan. Ada ibu tunggal yang menitiskan air mata, ada pakcik tua yang tersenyum syukur, dan ada anak kecil yang teruja melihat kek kecil dalam beg tersebut.
"Alhamdulilah, terima kasih sudi menerima kek hari kelahiran Wawa,” ucapnya ringkas dengan senyuman ikhlas.
Di media sosial, perkongsian kecil ini mendapat perhatian ramai. Warga maya turut tersentuh dengan usaha Wawa. Ada yang berharap untuk menjadi kaya bukan kerana harta semata, tetapi untuk lebih banyak memberi.
"Sebab ni lah saya nak jadi kayaboleh memberi lebih kepada yg memerlukan.bestnya."
"Alaaa tiberrr sedihh..seronoknya dapat bahagiakan orang lain macam ni..hari ni dan esok birthday anak saya juga..happy birthday wawa dan semoga terus mewah dengan rezeki dan dapat kongsi dengan orang lain juga."
"Kita memberi bukan sebab kita ada. Tapi, sebab kita tahu bagaimana rasanya bila 'tiada'."
"Bestnyaaa tengok mashaaAllah terinspirasi. moga saya kaya satu hari nanti dan dapat buat macam ni jugak bantu yg memerlukan."
"Selamat hari lahir Wawa Semoga diluaskan pintu rezeki & sihat sentiasa. Terus memberi inspirasi untuk bersedekah."
Semoga setiap rezeki yang dikongsikan hari ini menjadi asbab kebahagiaan yang lebih besar, buat dirinya dan buat semua yang menerima.
Selamat ulang tahun, Wawa Zainal. Semoga terus murah rezeki dan sentiasa menjadi inspirasi buat ramai orang.