Cantik itu subjektif. Pandangan setiap orang berbeza. Ada kalanya, anda rasa wanita itu cantik, tetapi lain pula komen daripada kawan anda.
Seorang tukang sapu jalanan di Thailand yang hanya dikenali sebagai Meen tiba-tiba menjadi tular apabila video dan gambarnya dirakam oleh seorang jurugambar jalanan terkenal dari Rusia, Semyon Rezchikov.
Jurugambar itu, yang sering merakam potret spontan di jalanan, berkongsi klip pertemuannya dengan wanita berkenaan di TikTok minggu lalu. Video yang mendapat lebih 200,000 tontonan itu memberi perspektif kepada masyarakat bahawa kecantikan asli benar-benar wujud.
Meen yang sedang khusyuk bekerja ketika itu tidak menyedari bahawa ada seseorang yang sedang memerhatikannya. Dalam video pendek itu, jurugambar tersebut segera berjalan ke arahnya selepas mengambil gambar.
Meen, yang ketika itu sedang bekerja, terkejut apabila dihampiri oleh seorang lelaki yang tidak dikenali. Apabila dapat memegang gambarnya sendiri yang telah dicetak, beliau teruja melihat kecantikannya yang selama ini tidak disedari.
Malah, netizen yang melihat video itu juga meninggalkan komen positif memuji kecantikan tukang sapu tersebut. Ada yang mengatakan Meen layak menjadi model dengan bantuan mereka yang pakar.
Ada juga yang berasa bangga melihat wanita ini bekerja keras untuk menyara keluarga. Selepas video ini tular, akaun TikTok Meen juga mencatatkan pertambahan jumlah pengikut.