SIAPA sangka, seorang pakar audiologi boleh beralih ke dunia perfileman? Tetapi itulah kisah inspirasi Dr. Shasa Aziz atau nama penuhnya, Dr. Nur Shasa’ Ain Tan Sri Abdul Aziz.
Dari memperjuangkan kesedaran kesihatan pendengaran selama sedekad menerusi Eartistic Hearing & Balance Centre, kini beliau mencabar diri dalam industri kreatif dengan 6 Jilake, filem aksi komedi di bawah syarikat baharunya, Eartistic Entertainment.
Dr. Shasa bukan sekadar pakar dalam audiologi. Beliau juga seorang pejuang. Satu dekad lalu, misinya jelas, mahu mendidik masyarakat tentang pentingnya penjagaan pendengaran dan keseimbangan. Namun, perjalanan itu penuh onak dan duri.
Ketika pandemik COVID-19 melanda, tujuh cawangan Eartistic Hearing terpaksa ditutup. Itu tamparan besar. Tetapi, adakah Dr. Shasa mengalah? Tidak.
"Itu detik paling mencabar, tetapi juga titik kebangkitan saya. Saya bangun, susun semula strategi, dan bawa Eartistic ke tahap yang lebih kukuh,” katanya.
Hari ini, Eartistic Hearing berkembang pesat dengan tujuh cawangan di seluruh Malaysia dan bakal meluaskan lagi perkhidmatan fisioterapi vertigo.
Daripada dunia perubatan, Dr. Shasa kini menerobos industri perfileman. Dengan pengalaman dalam siri animasi Kembara Utan yang mempromosikan STEM melalui hiburan, beliau kini tampil dengan 6 Jilake, filem aksi komedi yang akan ditayangkan pada 24 April lalu.
"Filem ini bukan sekadar hiburan. Ia penghormatan kepada budaya Malaysia dengan sentuhan moden yang segar,” jelasnya.
Gabungan humor dan aksi
Diarahkan oleh legenda perfileman, Aziz M. Osman, 6 Jilake mengambil inspirasi daripada filem ikonik 6 Jahanam arahan Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.
Dengan gabungan humor dan aksi mendebarkan, ia menampilkan pelakon hebat seperti Amerul Affendi, Bell Ngasri, Saiful Apek, Kazar Saisi, Asmidar, Kamarool Yusof, Laura Olivia, Wan Gegau, Wan Raja, Mamak Puteh, dan Jalil Hamid.
Apa yang membezakan Dr. Shasa daripada penerbit lain? Empunya diri mengakui tidak hanya mahu menghasilkan filem, sebaliknya mahu mencipta impak.
"Saya mahu orang sedar bahawa mendengar itu satu nikmat. Seni pula adalah cara terbaik untuk menyampaikan mesej besar,” katanya.
Dengan kombinasi perubatan, pendidikan dan hiburan, Dr. Shasa membuktikan bahawa tiada batasan dalam membawa perubahan kepada masyarakat.
6 Jilake hanyalah permulaan. Eartistic Entertainment juga merancang untuk mengembangkan jenama Kembara Utan ke peringkat global dengan muzik dan watak animasi baharu.