Hasrat Shuib bawa Mamat Sepah tunaikan umrah tercapai, anak isteri turut menemani. 'Ada rezeki baby Tanah Haram. Doakan kami'

Iklan

DUA pelawak tersohor tanah air, Mamat Sepah dan Shuib Sepahtu, bukan sekadar mencipta gelak tawa di pentas hiburan, tetapi kini melakar memori terindah dalam hidup mereka apabila menjadi tetamu ALLAH bersama insan tersayang.

Mereka akhirnya menunaikan umrah bersama keluarga dengan tajaan penuh Nuh Travel & Tours Sdn. Bhd., setelah lama menyimpan hasrat tersebut.

Bertolak pada 3 April, mereka sempat singgah di Dubai sebelum meneruskan perjalanan ke Mekah dan Madinah dalam trip eksklusif yang diuruskan sepenuhnya oleh Nuh Travel.

Bagi Mamat, ia bukan sekadar perjalanan spiritual, tetapi juga bulan madu istimewa bersama isteri tersayang, Nordiana Ibrahim.

Sementara itu, Shuib, yang sebelum ini pernah ditipu oleh agensi umrah, bersyukur kerana kali ini dapat membawa isteri dan anak-anaknya merasai pengalaman berharga di Tanah Suci.

Mamat Sepah, atau nama sebenarnya Mohd Noor Murad, meluahkan rasa syukur kerana berpeluang kembali ke Tanah Suci selepas 10 tahun, dan kali ini bersama isteri tercinta, Nordiana Ibrahim.

Iklan
Iklan
Iklan
Iklan


"Alhamdulillah, setelah sekian lama, saya kembali ke Tanah Suci, tetapi kali ini bersama isteri. Ini menjadikan umrah kali ini lebih bermakna buat kami berdua,” katanya.

Menurut Mamat, beliau pada asalnya berhasrat untuk bernikah di Mekah, namun tidak berkesempatan.

Justeru, dia bersyukur kerana dapat berbulan madu di Tanah Suci dan berdoa agar kehidupannya bersama isteri sentiasa dalam keberkatan serta dikurniakan zuriat.

Sementara itu, Shuib Sepahtu, atau nama penuhnya Shahmira Muhammad, juga meluahkan rasa syukur kerana diberi peluang sekali lagi untuk menjadi tetamu ALLAH, lebih-lebih lagi selepas percubaan terdahulu gagal akibat penipuan agensi umrah.

"Alhamdulillah, kali ini saya dan anak-anak dapat menunaikan umrah bersama. Saya berdoa agar perjalanan kami dipermudahkan dan mendapat keberkatan,” ujarnya.

Dalam perjalanan kali ini, Shuib turut membawa isterinya, Watie Hanifiah. Dalam perkongsiannya, Shuib berharap agar doa mereka untuk dikurniakan zuriat dimakbulkan-NYA..

"Kami memang ada perancangan untuk menambah cahaya mata kerana abang dan kakaknya sudah meminta adik. Mana tahu, ada rezeki ‘baby Tanah Haram’,” katanya.

Shuib juga bersyukur kerana dapat membawa anak bongsunya, Ayash Affan, yang baharu berusia tiga tahun untuk menunaikan umrah buat kali pertama.

Baginya, ia satu pengalaman berharga yang akan dikenang sepanjang hayat.

Memandangkan kedua-duanya pernah melalui pengalaman pahit berkenaan urusan umrah, mereka menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dalam memilih agensi umrah.

Mamat mengingatkan tentang risiko menunaikan umrah secara DIY (buat sendiri) dan menyarankan supaya memilih syarikat yang berpengalaman dan dipercayai.

"Lebih baik pilih agensi yang sah dan berdaftar. Biarlah kos sedikit tinggi, asalkan perjalanan lebih terjamin dan selamat.

Yang penting, banyakkan doa agar Allah permudahkan,” pesan Mamat.



Sementara itu, Shuib menyatakan keyakinannya terhadap Nuh Travel & Tours, yang telah menguruskan perjalanan mereka dengan baik.

"Saya percaya kepada Nuh Travel. Ramai yang tidak tahu kelebihan mereka.

Dengan pengalaman ini, saya berharap dapat membantu masyarakat memilih agensi umrah yang terbaik,” katanya.

Perjalanan umrah ini bukan sahaja menjadi pengalaman berharga buat mereka sekeluarga, malah turut mengeratkan lagi hubungan persahabatan antara Mamat dan Shuib yang sudah lama dikenali dalam industri hiburan tanah air.

Semoga perjalanan mereka mendapat keberkatan dan doa-doa mereka dimakbulkan ALLAH.