Nico meninggal dunia pada usia 52 tahun

Iklan

INNALILLAHI WAINNA INLAIHIROJIUN.

Industri hiburan tempatan berduka dengan pemergian anggota kumpulan rap legenda, Nico G iaitu Nico yang menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 11 malam semalam selepas singgah berehat di rumah rakan di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Menurut pengurusnya, Ayob Abd Majid, Allahyarham Nico atau nama sebenarnya Abdul Fashah Abdul Aziz , 52 difahamkan meninggal dunia ketika dalam tidur.

"Arwah memang biasa singgah Kampung Baru walaupun menetap di Cheras. Malam itu pun, dia singgah sekejap selepas memandu Grab.

"Tiba-tiba rakan cuba kejut, tapi dia sudah tidak bergerak. Waktu itu, saya dapat panggilan kira-kira jam 11.15 malam.

"Jenazahnya kemudian dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat,” katanya.

Buat masa ini keputusan bedah siasat masih belum diperoleh dan pihak keluarga Allahyarham memilih untuk menunggu laporan penuh pagi ini.

Sekadar info, Nico mula menghiasi dunia hiburan tanah air pada era 1990-an bersama Affa dan Dino di bawah kumpulan Nico.

Lagu Inilah Nasibku nyanyian mereka pernah mencipta fenomena pada tahun 1993 dan menjadi siulan anak muda.

Nico mewarnai industri muzik dengan album Buatan Los Angeles, Realiti pada 1995 dan Alamak! pada 1996.

Pada 2003 Nico kembali dengan ahli baharu, Ezad menerusi album Ops Kecoh. Kumpulan itu kemudian dijenamakan semula menggunakan nama Nico G.