SOAL mendidik anak, setiap ibu bapa mempunyai cara tersendiri. Namun sebuah video tular memaparkan seorang bapa menampar anak kecilnya berkali-kali dalam keadaan berbaring di tempat duduk penumpang kereta di bahagian belakang benar-benar menyentuh hati warganet.
Menerusi video berdurasi satu minit 27 saat, anak kecil didakwa berkelakuan nakal yang menyebabkan si bapa mengasarinya tanpa rasa simpati atau belas kasihan.
Video yang muat naik di Facebook itu sehingga kini telah menerima 19,000 reaksi warganet, 10,000 perkongsian dan lebih tiga juta tontonan.
Tidak tahan melihat kanak-kanak itu yang dipukul bertubi-tubi, Nazhatul Shima dan suami menegur perbuatan lelaki berkenaan.


Malah jelas kedengaran tangisan si kecil yang dimarahi dan dihenyak bapanya sambil disaksikan oleh dua kanak-kanak lain dipercayai anak-anaknya, yang berada di luar kereta.
"Betul ke cara ajar anak macam ni. Apa pendapat anda?
"Anak umur dua atau tiga tahun. Baling barang orang (mungkin di kedai) bapanya tampar dua hingga tiga kali sebelum masuk ke kereta.
"Bawa masuk kereta baringkan, henyak dan hempas baby itu banyak kali.
"Mak dia tengok sahaja di hadapan. Cara ajar anak katanya.
"Saya pun ada empat orang anak dan ada yang sebaya baby tu. Budak usia itu tahu apa? Biasalah kalau hendak (beli) apa-apa barang kita tak bagi dan kemudian baling-baling barang.
"Takkan sampai macam itu sekali, merah padam muka baby kena penampar. Kasihannya.
"Mula-mula rasa macam hendak biarkan sahaja, anak orang malas hendak sibuk tapi tengok dia (bapa) henyak budak itu terus rasa geram," kongsi pengguna Facebook, Nazhatul Shima.
Dalam masa yang sama, beliau dan suami menegur perbuatan si bapa yang memukul kanak-kanak berkenaan.
Namun lelaki berkenaan menjawab kanak-kanak itu perlu diajar kerana telah membaling barangan milik orang lain.
Warganet yang bengang dengan keadaan berkenaan meluahkan rasa kecewa. Kata mereka, didikan sebegitu adalah tidak normal dan tiada ihsan tidak sesuai bagi kanak-kanak berusia dua hingga tiga tahun. Ujar mereka;
"Pesan Rasulullah SAW anak seawal lahir hingga sebelum umur tujuh tahun dimanjakan. Ditegur selembut yang mampu. Umur tujuh hingga sebelum baligh dijadikan hamba. Dirotan dengan syarat agar anak sentiasa beringat. Apabila sudah baligh dijadikan kawan untuk stabilkan emosi anak yang nak langkah alam dewasa."
"Bagus terus tegur depan-depan, tidak semua orang mampu tegur macam ni. Harap apabila abang tu sudah tenang sedikit, dia boleh fikir semula dan menerima teguran."
"Astagfirullahalazim, rakyat Malaysia memang perihatin. Bab macam ini jangan biarkan."
"Maaflah nak cakap, ini tidak normal dan tiada ihsan langsung."
"Terbaik tegur cara begini."
CARA MENDIDIK ANAK MENGIKUT SUNAH RASULULLAH SAW
TAHAP PERTAMA (0-6 TAHUN)
Pada tahap usia ini anak perlu disayangi dan dibelai dengan kasih sayang, diajak bermain dan bergurau.
Kesannya, anak-anak akan lebih dekat dengan ibu bapa dan merasakan ibu bapa sebahagian masa membesar, boleh dianggap sebagai rakan dan rujukan yang terbaik. Anak-anak merasa aman dalam meniti usia kecil mereka kerana mereka tahu ibu bapa selalu ada disisi mereka setiap masa.
TAHAP KEDUA (7-14 TAHUN)
Pada tahap ini kita mula menanamkan nilai disiplin dan tanggungjawab dalam diri anak-anak. Menurut hadis Abu Daud:
"Perintahlah anak-anak kamu supaya mendirikan sembahyang ketika berusia tujuh tahun dan pukul mereka kerana meninggalkan sembahyang ketika berumur sepuluh tahun dan asingkanlah tempat tidur di antara mereka (lelaki dan perempuan)."
Pukul bukanlah untuk menyeksa, cuma sekadar untuk menggerunkan. Jangan pukul pada bahagian muka kerana ia adalah tempat penghormatan seseorang.
Kesannya, anak-anak akan lebih bertanggungjawab pada setiap suruhan terutama dalam mendirikan solat. Inilah masa terbaik bagi kita dalam memprogramkan sahsiah dan akhlak mereka mengikut ajaran Islam.
TAHAP KETIGA (15-21 TAHUN)
Inilah fasa remaja yang penuh sikap memberontak. Pada tahap ini, ibu bapa seeloknya mendekati anak-anak dengan berkawan dengan mereka.
Sekiranya tidak bersetuju dengan sebarang tindakan mereka, elakkan mengherdik atau memarahi mereka terutama di hadapan adik-beradik yang lain tetapi perbanyakkan pendekatan secara diplomasi.
Kesannya, tiada orang ketiga atau ‘asing’ akan hadir dalam hidup mereka sebagai tempat rujukan dan pendengar masalah mereka dan anak-anak tidak mudah terpengaruh untuk keluar rumah untuk mencari keseronokkan di luar.
Sumber: Facebook