DEMI ilmu, seorang bapa sanggup melakukan apa sahaja termasuk menaiki bot setiap hari untuk menghantar permata hati pergi dan pulang dari sekolah.
Setiap hari membelah lautan untuk ke sekolah, kegigihan lelaki dikenali sebagai Jamaluddin Musa, 42, berkongsi rutin hariannya bersama dua cahaya mata menyentuh hati warganet.
Dua anaknya, Armin dan Aida yang merupakan murid Sekolah Kebangsaan Tekek, Pulau Tioman, Rompin, Pahang menaiki bot laju.
Berkongsi kepada sebuah stesen radio, Jamaludin menjelaskan jarak antara sekolah dan rumah agak jauh dan memakan masa empat jam jika berjalan kaki. Namun ia tidak mematahkan semangat si bapa untuk memastikan anak-anak mendapat pendidikan yang sempurna.


"Agak jauh. Jika menggunakan speed boat dalam 10 minit manakala berjalan kaki empat jam. Kena redah hutan dan bukit.
"Setiap hari kami lalui selama tujuh tahun," kongsinya.
"Tujuh tahun bukan masa yang pendek," titipnya.
Artikel penuh:
- Perkongsian guru mengajar di pulau, tiap hari naik bot, van demi didik anak bangsa, raih perhatian warganet
- Duit hasil bawa teksi saksi 5 beradik berjaya ke menara gading, luahan anak akan pengorbanan ayah bikin sebak
- Ubah suai basikal guna tong sampah demi bawa anak ke sekolah, bapa terima hadiah motosikal. 'Biarlah pakcik berhujan, panas...'
Pengajar selam skuba itu turut berkongsi momen yang tidak dapat dilupakan. Antaranya terjatuh enjin bot hingga kedua-dua anaknya tidak dapat hadir ke sekolah.
"Faktor cuaca seperti hujan, ribut dan ombak kuat antara cabaran yang terpaksa dihadapi. Untuk itu kami perlu menggunakan bot yang lebih besar.
"Cabaran paling dahsyat sekali ialah enjin tertanggal dan jatuh ke dalam laut. Syukur saya ada pendayung dan sempat mendayung ke pantai.
"Jika tiada pendayung itu mungkin kami...," tutur Jamaludin.
Biarpun melalui episod yang mencabar, semangat beliau tidak pernah luntur. Agar anak-anak terus ke sekolah, lelaki itu melaburkan sejumlah besar wang untuk membeli enjin bot baharu.
"Enjin bot jatuh dalam laut terpaksa ayah beli baharu. RM6,000 untuk anak-anak ayah ke sekolah.
"Alhamdulillah ALLAH SWT memberi rezeki yang lebih atas pergorbanan ayah," kongsinya.
Perkongsiannya menerusi akaun TikTok @scubanaut16 itu tular hingga menerima hampir 800,000 tontonan.
Warganet rata-rata sayu menyaksikan pengorbanan bapa dan kegigihan dua beradik itu menaiki bot dan menempuh perjalanan mencabar demi ilmu serta masa depan.
"Suka tengok anak pulau yang rajin ke sekolah walaupun terpaksa merentas lautan. Saya sebagai guru adalala sedih tengok anak murid sendiri yang rumahnya dekat pun tidak datang ke sekolah atas pelbagai alasan. Walhal perlu jalan kaki beberapa ratus meter sahaja."
"Comel anak-anak tuan. Semoga membesar menjdi anak soleh dan solehah. Belajar bersungguh-sungguh untuk balas jasa ayah ya."
"Hebat ayah dan mak awak dik. Bawa bot bukan mudah."
"Bertuah awak dik, pengalaman yang awak ada sangat berharga. Bukan senang untuk merasa ke sekolah naik bot. Semoga berjaya dunia akhirat."