Balik raya, suami tergamak tinggalkan isteri, anak 4 bulan di masjid sehelai sepinggang. Rupanya ini punca sebenar...

Iklan

HARI raya selalunya seluruh keluarga akan berkumpul. Namun dalam kemeriahan menyambut Syawal baru-baru ini, seorang suami sangggup meninggalkan isteri di masjid.

Betapa teganya penjawat awam, Ade Candra Gunawan, membiarkan isteri tercinta, Dede Afrianti, 35, dan anak mereka yang masih berusia empat bulan menyambut kehadiran Syawal dalam keadaan sehelai sepinggang.

Menurut Bangkapos, hal berkenaan hanya disedari selepas ditemui oleh pihak Polis Bandaraya Tasikmalaya, Jawa Barat yang sedang membuat rondaan.

Difahamkan, Ade dan Dede dalam perjalanan pulang beraya ditinggalkan selepas beristirahat di masjid berkenaan.



Menurut Ketua Pos Bersepadu Ampera AKP, Asep Saefulloh menjelaskan pihaknya menerima maklumat seorang wanita musafir dan bayinya ditinggalkan suami di masjid kawasan Ciawi.

"Mangsa (Dede) dibawa suaminya menaiki motosikal dari Pangalengan menuju ke Ciamis dan mereka berdua bermalam di Masjid Kaum Ciawi."

"Namun apabila tersedar dari tidur, isterinya keliru kerana suaminya sudah tiada,” katanya.

Artikel berkaitan:

Pada awalnya, Dede menyangka bahawa suaminya terlupa akan kehadiran mereka selepas singgah di masjid tersebut, namun siasatan mendapati tindakan itu dilakukan dengan sengaja oleh Ade.



Lapor media tempatan, Ade mengaku Dede merupakan isteri keduanya.

Iklan


Guru lelaki itu yang sudah beristeri dan memiliki empat orang cahaya mata terpaksa meninggalkan Dede di masjid susulan kehadiran wanita serta anaknya itu tidak diterima keluarga.

Selepas insiden itu, Dede yang ditolak kehadirannya suami dan mentua menarik nafas lega.

Dede kini tinggal berdekatan dengan suaminya walaupun tidak sebumbung.

Dede dan bayinya ditempatkan di sebuah rumah sewa tidak jauh dari rumah suaminya di Pangalengan.

"Ade kini tidak lagi menerima kehadiran isteri mudanya. Mentuanya juga tidak bersetuju isteri mudanya balik ke rumah mereka," kata Asep Saepulloh.

HUKUM POLIGAMI

Untuk info, poligami terdiri daripada tiga hukum iaitu makruh, sunat dan haram.

Poligami makruh apabila berpoligami dilakukan hanya sekadar untuk berseronok- seronok sedangkan suami sendiri ragu akan kemampuan dirinya untuk berlaku adil terhadap isteri- isteri daripada sudut nafkah zahir dan batin. Ini kerana poligami itu bukan kerana keperluan dan boleh jadi kesan daripada perkahwinan itu akan memberikan kemudaratan kepada isteri-isterinya disebabkan kerana tidak mampu berlaku adil terhadap mereka.

Poligami sunat hukumnya apabila suami memerlukan isteri yang lain misalnya bagi mendapatkan zuriat kerana isteri yang pertama tidak boleh melahirkan anak atau sakit atau suami mempunyai keinginan yang amat kuat sehingga isteri seorang tidak mampu untuk melayaninya. Suami juga berkeyakinan, mampu berlaku adil terhadap isteri- isteri zahir dan batin. Maka ketika ini tiada halangan baginya untuk berpoligami kerana mempunyai kebaikan dan maslahat syarak.

Poligami menjadi haram jika lelaki ingin berpoligami merasa ‘zhan’ atau yakin tidak mampu berlaku adil terhadap isteri-isterinya. Boleh jadi kerana kemiskinan, kelemahanya atau dia tidak yakin dapat mengawal kecenderungan dan sifat prejudis. Hukum poligami pada ketika ini ialah haram kerana ia akan memberi kemudaratan kepada orang lain.

Berikut adalah tanggungjawab suami dalam perkahwinan poligami:

1. Membatasi jumlah isteri yang akan dikahwininya.

2. Diharamkan bagi suami mengumpulkan wanita-wanita yang masih ada tali persaudaraan menjadi isterinya.

3. Disyaratkan pula berlaku adil terhadap dirinya sendiri dan para isteri.

4. Adil memberikan nafkah zahir (makan minum, tempat tinggal termasuk alat solek, pengangkutan, kesihatan, pendidikan dan lain-lain keperluan) dan nafkah batin.

5. Adil dalam giliran.

6. Keadilan dalam memberikan kasih sayang

7. Memberi perlindungan, pemeliharaan dan kasih sayang yang adil terhadap anak-anak iaitu tidak menimbulkan huru-hara atau masalah (dharar syarie) dalam kalangan isteri mahupun anak-anak dan berkuasa menanggung nafkah.

Manakala isteri dalam poligami mempunyai hak untuk memiliki rumah sendiri dan mendapat hak giliran yang sama.