Kalau sebut pasal kahwin, ramai yang terus bayangkan pelamin indah bak taman kayangan, busana puteri raja yang berkilau, kek bertingkat tinggi dan dewan penuh bunga harum semerbak.
Tapi pernah tak korang terfikir, kek pengantin boleh dijadikan pakaian dan diperagakan atas pentas macam pertunjukan fesyen? Kalau belum pernah terbayang, maka KahwinFest 2025 ini adalah tempat yang patut korang kunjungi.
Festival perkahwinan yang kembali lagi dengan penuh gaya tahun ini bakal berlangsung selama tiga hari bermula 25 hingga 27 April 2025 di Wangsa Walk Mall, dari jam 10 pagi hingga 10 malam.
Dianjurkan oleh QALAM Management, KahwinFest 2025 bukan sekadar ekspo perkahwinan biasa, tetapi satu acara penuh warna dan gaya yang menghimpunkan segala keperluan untuk bakal pengantin dalam satu lokasi. Pendek kata, pusat sehenti yang cukup lengkap.
Apa yang lebih menarik, edisi tahun ini memperlihatkan kerjasama dua nama besar yang tak asing lagi dalam industri masing-masing, Gula Cakery dan Hatta Dolmat. Ya, jenama bakeri popular dan pereka fesyen tersohor ini bergabung dalam sebuah kapsul eksklusif yang diberi nama"Wear the Couture Dress Cake".


Menurut wakil penganjur, ini adalah kali pertama di Malaysia sebuah kek pengantin sebenar bersaiz penuh direka sebagai busana couture dan dipakai oleh model secara langsung di pentas pertunjukan. Gabungan antara seni bakeri dan seni fesyen ini dijangka menjadi persembahan visual yang bukan sahaja unik, malah penuh magis, mewah dan imaginatif — sekali gus menepati tanda pagar acara ini, iaitu"Festival Kahwin Paling Best”.
Menurut Hatta Dolmat, beliau sangat teruja dengan kolaborasi ini kerana sudah lama tidak membuat pertunjukan fesyen perkahwinan dan lebih banyak memberi fokus kepada busana Ready-To-Wear (RTW) serta rekaan korporat.
Katanya, kolaborasi bersama Gula Cakery membuka ruang untuk menghasilkan sesuatu yang di luar jangkaan, namun masih kekal dalam konteks perkahwinan yang eksklusif. Malah, beliau percaya KahwinFest merupakan platform terbaik untuk merealisasikan idea unik ini. Tambahnya lagi, dia tak sabar untuk melihat bagaimana kek sebenar bersaiz manusia digayakan oleh model, satu pencapaian yang pastinya akan dikenang dalam sejarah dunia perkahwinan tempatan.
Sementara itu, Nor Arieni Adriana, pemilik Gula Cakery pula menyifatkan kerjasama ini sebagai satu simbolik rasa dan pengalaman yang menggabungkan kreativiti dua bidang yang berbeza.
Baginya, hasil akhir kolaborasi ini bukan sahaja mencerminkan nilai seni tinggi, tetapi juga memberi impak visual yang memukau dan meninggalkan kesan emosi kepada penonton.
"Saya bersyukur melihat kerjasama Gula Cakery dan Hatta ini menjadi realiti. Ia bukan sahaja tentang kek, tetapi juga tentang impian dan kreativiti yang diterjemah dengan penuh elegan,” katanya.
Bukan setakat itu sahaja yang membuatkan KahwinFest 2025 ini wajib dikunjungi. Lebih 40 vendor hebat turut serta dalam ekspo ini, antaranya Tamu Hotel & Suites, Damoora, Khulafa Studio, Rose Hall & Events, Topazio Imperial, VC Venture Travel, Medina Craft Indonesia, De Orchid Gombak, Butik Pengantin Reka Tradisi, Picturesque Production dan ramai lagi. Pendek kata, memang meriah! Yang lebih menggembirakan, kemasukan ke ekspo ini adalah percuma.
Buat pasangan yang sedang membuat persiapan kahwin atau yang sedang menyemak bajet, KahwinFest 2025 juga menawarkan potongan harga sempena Aidilfitri sehingga 70 peratus untuk pakej kahwin terpilih. Jadi memang rugi kalau tak singgah.
Selain menjimatkan masa dan tenaga, korang juga boleh jimat bajet dengan pilihan vendor yang berkualiti dan harga mesra poket. Siapa tahu, mungkin dalam perjalanan singgah ke Wangsa Walk Mall tu, bukan sahaja dapat ‘secure’ pakej kahwin idaman, tetapi juga jumpa inspirasi baharu yang boleh menjadikan majlis kahwin korang satu memori yang betul-betul luar biasa.
Jadi, simpan tarikh 25 hingga 27 April ini dan pastikan korang hadir ke KahwinFest 2025. Sama ada korang bakal raja sehari, bestie kepada pengantin, atau sekadar pencinta seni dan fesyen, ada sesuatu untuk semua di sini.
Percayalah, ini bukan ekspo kahwin biasa. Ini ialah tempat di mana cinta, seni dan kreativiti diraikan dalam satu festival penuh gaya.