TAK boleh bayangkan apa perasaan bila kereta idaman yang dinanti-nantikan selama 10 tahun terbakar depan mata.
Bayangkanlah, penat lelah menyimpan duit selama sedekad itu akhirnya dapat beli jentera padu, Ferrari 458 Spider bernilai lebih RM1.3 juta.
Pun begitu, belum sempat habis feel, kereta idaman hangus sekelip mata.
Lagi hancur luluh hati apabila pemiliknya hanya mampu melihat kereta menjadi abu tanpa berbuat apa-apa.


Itulah yang berlaku kepada seorang pemuda dari Tokyo, Jepun yang dikenali sebagai @Niatan_2525 di platform X.
Nak dijadikan cerita, pada 16 April lalu, beliau berjaya memiliki sebuah supercar berwarna putih berkat hasil titik peluh dan simpanan mencecah RM1.3 juta.
Namun, kegembiraan tu tak bertahan lama.
Tak sampai sejam selepas memandu pulang kereta tersebut, enjin tiba-tiba berasap sebelum disambar api.
Ferrari idaman produser muzik itu rentung hampir keseluruhan di Lebuhraya Shuto.
"Rasanya, sayalah satu-satunya orang di Jepun yang alami benda macam ni,” tulisnya di media sosial.
Mujurlah lelaki berusia 33 tahun berkenaan sempat keluar dari kereta sebelum kejadian jadi lebih buruk.
Meski tiada kemalangan jiwa dilaporkan, tapi trauma dan kesedihan jelas terasa dalam perkongsiannya.
Buat masa ni, punca kebakaran masih disiasat oleh pihak polis.
Apa pun, kisah ini boleh dijadikan peringatan buat kita semua.
Kadang-kadang, walau dah genggam mimpi dalam tangan, belum tentu ia jadi milik kita selamanya.