WALAUPUN usianya sudah lebih satu abad, tapi semangat nenek dari Indonesia ini tak pernah padam.
Impian Suminah, jemaah haji paling tua dari wilayah Jawa Tengah untuk menunaikan haji akhirnya dimakbulkan ALLAH selepas menabung selama 10 tahun.
Lapor Kompas.com, wanita yang berusia 103 tahun itu pergi ke Tanah Suci sendirian tanpa ditemani ahli keluarga.


Lagi membuatkan ramai kagum, warga emas itu masih gagah berjalan tanpa sebarang bantuan kerusi roda atau pun tongkat.
Nak dijadikan cerita, beliau yang sudah kematian suami itu hanya ditemani grup rombongan haji yang sudah ditetapkan pihak pengurusan.
Sanggup jual seekor lembu yang diternak pada tahun 2015 untuk mendaftar haji sebelum menyimpan duit selama 10 tahun.
Cerita Suminah, beliau meluahkan rasa syukur kerana akhirnya dapat juga menunaikan haji selepas menunggu sekian lama.
"Seronok sangat boleh berangkat haji. Dulu menjual satu lembu untuk daftar haji tahun 2015. Yang daftarkan dulu ya anak-anak,” ceritanya.
Rahsia umur panjang
Meskipun sudah lanjut usia, namun Suminah masih aktif melakukan rutin harian yang menjadi rahsia umur panjang.
Tanpa persiapan khas untuk haji, tapi aktiviti harian beliau sudah cukup jadi latihan.
Mana tidaknya, selepas usai solat Subuh, beliau akan berjalan-jalan untuk mengambil udara segar, beri makan lembu dan menyapu halaman rumah.
Boleh jadi, amalan solat tahajud dan dhuha juga antara resipi fizikal dan mental kekal kuat selain ubat penenang hati.
Artikel penuh: https://sinarplus.sinarharian.com.my/selebriti-hiburan/hiburan-lokal/sebak-que-haidar-afdlin-shauki-berdamai-peluk-tangisan-akhiri-sengketa-lebih-sedekad
"Sekarang, ya cuma bagi makan lembu dan sapu sikit-sikit kawasan rumah. Kalau dulu ya pernah ke sawah tapi sudah tak larat lagi,” katanya.
Hebat nenek ini, kan? Impian jadi pencetus semangat untuk tunaikan haji di Mekah walaupun ambil masa bertahun-tahun.
Buat kalian yang mempunyai impian sama, jangan putus asa!
Insya-ALLAH giliran akan tiba nanti. Paling penting, siapkan diri dari segi mental dan fizikal ya!