BAGAI pinang dibelah dua, begitulah perumpamaan ditujukan buat penyanyi, Sufian Suhaimi yang selamat bergelar suami kepada Rania Al Sadat dalam sebuah majlis tertutup yang diadakan di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.
Majlis akad nikah disempurnakan sekitar jam 9.30 pagi dengan hanya satu lafaz oleh Sufian disaksikan oleh ahli keluarga dan kenalan terdekat kedua-dua belah pihak.
Sufian dan Rania dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan, Syaraff Al Sadat sekaligus menyerahkan mas kahwin berupa satu dinar emas, bersama tiga dulang hantaran berbalas lima, termasuk sebentuk cincin dan gelang buat pengantin perempuan.


Pasangan ini mula berkenalan sejak tahun 2022 dan telah mengikat tali pertunangan pada awal Februari 2025.
Menurut Sufian yang juga merupakan anak kedua dari tiga beradik ini, majlis resepsi akan diadakan secara sederhana dan tertutup dalam kalangan ahli keluarga terdekat di ibu kota.
Lebih menarik bersempena tarikh keramat ini, Sufian turut mempersembahkan sebuah lagu istimewa berjudul Saksi, hasil ciptaan Sirkhan, Namjan dan Rinkarnaen.
Artikel penuh:
- Cincin dipulangkan, ikatan terlerai, Sufian Suhaimi dan Rania Al-Sadat masih berbaik. 'Merisik tak bermaksud bernikah'
- Bukan gimik, Sufian Suhaimi rancang nikahi Rania Disember atau Januari depan
Lagu ini membawa naratif kisah cinta pasangan itu turut menampilkan Rania dalam video muzik.
Terdahulu, berita gembira pernikahan Sufian dikongsikan oleh adiknya, Salihin Suhaimi menerusi Insta Story.
Tanpa kapsyen, Salihin memuat naik foto Sufian dan isteri, Rania Al Sadat yang menggayakan busana pengantin serba putih sejurus selepas akad nikah.
Terdahulu, penyanyi lagu Dimatamu dan Terakhir itu menyatakan sudah bersedia menggalas tanggungjawab sebagai suami dan tidak menolak kemungkinan menamatkan zaman bujang dalam waktu terdekat.
Katanya, beliau berhajat untuk mendirikan rumah tangga tahun ini dan tidak sabar untuk berkongsi berita gembira kepada umum.
Terdahulu, Sufian dan Rania yang juga merupakan peguam dan model pernah mengikat tali pertunangan pada tahun 2023.
Namun hubungan mereka diuji apabila April tahun lalu, penyanyi itu memberitahu cincin risik yang diberikan sudah dipulangkan.
Kalau sudah jodoh, takkan ke mana. Cinta mereka dikatakan bertaut kembali pada Januari tahun ini.