KERINDUAN yang menyelubungi hati pelakon veteran, Harun Hashim, bagaikan tiada penghujungnya selepas pemergian isteri tercinta akibat kanser paru-paru.
Walaupun sudah enam bulan berlalu sejak pemergian Allahyarham Sakinah Ganjali, namun kasih dan setia terhadap isterinya tidak pernah pudar.
Setiap hari tanpa jemu, Harun menziarahi pusara wanita kesayangannya, menjadikan ia satu rutin sebagai pengubat rindu yang tidak pernah surut.
"Hati tidak tenteram jika tidak dapat menziarahi pusara arwah, setiap hari. Jadi, saya menolak menerima tawaran lakonan terlalu lama,” luahnya.
Malah, dia sanggup berpindah dan menetap di kawasan berhampiran tanah perkuburan semata-mata untuk memudahkannya berulang-alik menziarahi pusara isterinya.
Pelakon berpengalaman itu turut mengakui, kekosongan yang ditinggalkan arwah tidak mampu diisi oleh sesiapa pun.
Baginya, Sakinah bukan sekadar suri hati, malah merupakan tulang belakang dalam kerjaya seninya berperanan seperti pengurus peribadi yang mengatur setiap jadual lakonan dan urusan seni.
"Selama ini, arwah menemani saya ke mana sahaja. Arwah juga menjaga jadual kerja termasuklah tolong tengokkan 'waze'.
"Jadi, bila dia tiada, memang terasa sangat kekosongan dan kesunyian. Saya patah sebelah kaki. Sampai sekarang saya masih menangis. Tapi, tiada siapa tahu kesedihan saya tanggung," katanya.
Pada masa sama, Harun yang kini tinggal bersendirian di Bukit Hijau, Jeram, Kuala Selangor, turut meluahkan rasa bimbang jika suatu hari nanti dijemput Ilahi tanpa sesiapa menyedari pemergiannya.
"Jujurnya, bila tinggal sendirian, ada kebimbangan akan mati sendirian. Saya paling takut orang jumpa saya dalam keadaan sudah berulat," kongsinya.
Meskipun dilanda duka dan usia yang semakin menginjak senja, Harun masih menerima tawaran pihak produksi untuk menghiasi kaca televisyen.
Terbaharu, pelakon yang lahir sebelum kemerdekaan Tanah Melayu ini muncul kembali dalam drama"Bilal dan Abah" di TV AlHijrah.
Bagaimanapun, Harun mengakui bahawa dia tidak boleh menerima semua tawaran yang datang, memandangkan keadaan kesihatannya yang tidak menentu dan masalah penglihatan yang dihadapinya.
"Saya ada penyakit darah tinggi, kencing manis dan kolesterol. Alhamdulillah, setakat ini, tawaran sentiasa ada, tapi tak semua yang saya terima.
"Saya hanya terima mana yang perlu, dapat satu 'job' sudah cukup untuk menampung hidup selama enam bulan. Lagipun, saya susah nak bergerak dengan penglihatan terhad. Biasanya, produksi akan ambil dan hantar pulang," kongsinya.
Beliau berkongsi perkara itu ketika ditemui SinarPlus pelancaran program Haji TV AlHijrah: Menyambut Panggilan-MU di ibu kota baru-baru ini.
Untuk rekod, isteri kesayangannya, Allahyarham Sakinah Ganjali, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Al-Sultan Abdullah, Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada 21 November lalu akibat kanser payudara tahap empat. Ketika itu, usia Allahyarham baru berusia 48 tahun.
Sekadar makluman, telefilem istimewa Bilal dan Abah yang mengisahkan perjuangan serta inspirasi seorang pemuda Orang Kelainan Upaya (OKU) dalam menzahirkan kecintaan kepada Islam akan mewarnai skrin penonton pada Ahad, 8 Jun depan.
Telefilem ini menampilkan pelakon-pelakon hebat tanah air seperti Azhan Rani, Ummi Nazeera, Harun Hashim, Luqman Hafidz, dan ramai lagi.