Tak sangka! Tunku Azizah guna nama ‘Aminah Mahmood’ masuk pertandingan, menang acar buah buat ramai kagum

Iklan

SIAPA sangka, dalam pertandingan masakan yang berlangsung sempena Karnival Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (WI) Pahang, hidangan acar buah yang dinobatkan sebagai juara rupa-rupanya dimasak oleh Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Lebih menarik, baginda tidak bertanding atas nama sendiri, sebaliknya menggunakan nama samaran ‘Aminah Mahmood’.

Pertandingan yang diadakan di Taman Tasik Maran itu disertai oleh 11 peserta dan setiap peserta perlu membawa hidangan yang sudah siap dimasak dari rumah untuk dinilai oleh para juri.

Tanpa sebarang pengecualian atau layanan istimewa, baginda turut mematuhi syarat sama seperti peserta lain, sekali gus menjadikan kemenangan itu benar-benar berpaksikan rasa dan kualiti masakan semata-mata.
Iklan
Menurut salah seorang juri, Siti Rokiah Lebai Rahmat, 74, mereka benar-benar tidak menyangka bahawa hidangan yang mereka nobatkan sebagai pemenang itu adalah air tangan Tengku Ampuan Pahang.

Iklan


Malah, beliau yang berpengalaman lebih 39 tahun sebagai juri pertandingan masakan mengakui tidak pernah merasai acar buah sebaik itu.
Katanya, rasa acar buah tersebut sangat seimbang. Ia tidak berminyak dan setiap hirisan buah bersalut kemas dengan kuah yang kaya rempah serta penuh rasa. Kombinasi bahan-bahannya juga dianggap sempurna.

"Ini kali pertama saya rasa acar buah yang sedap, sempurna dan lengkap dengan semua bahan,” katanya yang pernah berkhidmat sebagai guru masakan di Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS).

Sebaik sahaja diumumkan bahawa ‘Aminah Mahmood’ ialah nama samaran Tunku Azizah, suasana pertandingan bertukar menjadi gamat dengan tepukan dan reaksi terkejut daripada peserta serta pengunjung yang hadir.

Ternyata ramai yang kagum dengan kesungguhan dan kerendahan hati baginda yang sanggup bertanding secara rahsia, hanya kerana mahu menyertai secara adil dan sama rata seperti peserta lain.
Sebelum pertandingan bermula, baginda turut berkenan mencemar duli menghadiri karnival berkenaan selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung WI Pahang di Dewan Jubli Perak, Maran. Baginda turut diiringi oleh Che Puan Panglima, Puteri Suraiya Afzan Datuk Mohammed Moizz.
Tunku Azizah sememangnya terkenal sebagai seorang yang dekat dengan dunia masakan. Ramai yang tahu baginda sering berkongsi minat memasak, menjahit dan seni kraf tangan.



Malah, baginda juga aktif menerbitkan buku resipi serta menyokong program-program pembangunan wanita dan komuniti setempat.
Kisah ‘Acar Buah Aminah Mahmood’ ini bukan sahaja mencetuskan kekaguman, malah menyampaikan satu mesej yang cukup mendalam bahawa dalam dunia masakan, rasa adalah raja.

Dan kadangkala, Raja pun sanggup turun padang sebagai rakyat biasa, hanya kerana cinta yang tulus terhadap dunia kulinari.

Iklan
Iklan