SUDAH 15 tahun bergelar anak seni, pelakon dan finalis Hero Remaja 2011/2012, Saharul Ridzwan, tidak pernah lari daripada perhatian peminat.
Namun baru-baru ini, namanya kembali menjadi bualan apabila berkongsi satu kisah menyentuh hati di laman Instagramnya.
Saharul, 36, memohon maaf secara terbuka kepada isterinya, Deena Amir atau nama penuhnya Qaabila Deena Emir Mohamed Akif Emir, selepas terpaksa melepaskan sebuah kereta jenis Honda Jazz, hadiah istimewa yang pernah diberikannya kepada isteri tersayang sempena ulang tahun perkahwinan keempat mereka.


"Sayang, saya minta maaf. Hadiah ulang tahun perkahwinan kita yang saya belikan pada tahun 2020 terpaksa dijual. Ada rezeki, insya-ALLAH nanti saya belikan hadiah lain,” luah Saharul dalam kapsyen ringkas namun penuh makna.
Kereta tersebut dibeli oleh seorang individu dari Kelantan dan kini sedang melalui proses pertukaran nama pemilik. Saharul turut berkongsi rasa syukurnya apabila urusan jual beli itu dipermudahkan.
"Alhamdulillah, sold out. Orang Kelantan beli. Sekarang proses untuk menukar nama pemilik kereta. Semoga ALLAH permudahkan,” katanya.
Hadiah kenangan
Apa yang menarik, pemberian Honda Jazz itu pada 1 September 2020 merupakan momen cukup manis buat pasangan ini, yang ketika itu meraikan ulang tahun perkahwinan keempat mereka. Deena sendiri pernah memuat naik hantaran di Instagram berkongsi rasa gembira menerima kejutan tersebut daripada suaminya.
Namun realiti hidup tidak sentiasa indah. Menurut Saharul, keputusan menjual hadiah kenangan itu bukan sesuatu yang mudah. Meskipun begitu, dia tidak mendedahkan secara terperinci sebab di sebalik penjualan tersebut.
Bukan kali pertama Saharul mengambil langkah besar dalam hidupnya. Tahun lalu, pelakon drama Seindah Tujuh Warna Pelangi itu turut melepaskan beberapa aset lain termasuk sebuah kereta Mercedes- Benz dan sebuah kondominium di Cyberjaya.
Untuk rekod, Saharul dan Deena mendirikan rumah tangga pada 16 September 2016. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan tiga cahaya mata comel, Muhammad Luth Ali (8 tahun), Fateema Azzahra (5 tahun), dan si kecil Khadijah Alkubra (2 tahun).
Walaupun keputusan itu mungkin berat untuk diterima, ramai pengikut dan peminat memberikan sokongan moral serta doa agar rezeki pasangan ini terus melimpah ruah.
Bagi mereka, nilai sebuah hadiah bukan sekadar material, tetapi kasih sayang dan pengorbanan yang mengiringinya jauh lebih bermakna.