Ubah suai basikal guna tong sampah demi bawa anak ke sekolah, bapa terima hadiah motosikal. 'Biarlah pakcik berhujan, panas...'
KASIH ibu membawa ke syurga, kasih ayah sepanjang masa.
Baru-baru ini tular kisah seorang bapa yang sanggup memerah keringat menghantar anak ke sekolah dengan basikal dan kreatif mengubah suai kenderaan berkenaan mengunakan tong sampah demi keselesaan puterinya.
Bapa berkenaan, Basri, 69, dari Kampung Bakau Baru, Lahad Datu, Sabah menggunakan kreativiti memasang dua buah tong sampah pada bahagian sisi kiri dan kanan untuk memudahkan anak bongsunya, Putri Sarah, 7, meletakkan kaki serta memuat beg sekolah sepanjang perjalanan.
Susulan tularnya video yang dirakam pengguna laman sosial Facebook, Hareez Ikmal, nasib Basri mendapat perhatian aktivis masyarakat, Adrian Edy.
Edy yang berkongsi pertemuannya dengan keluarga itu telah menghadiahkan sebuah motosikal.
"Motosikal kasih rakyat, daripada rakyat untuk rakyat. Menangis di Lahad Datu kelmarin, beberapa hari lalu ternampak video pakcik Basri yang menunggang basikal bersama anaknya, Putri Sarah ketika balik dari sekolah. Tersentuh hati dan terus terdetik di hati untuk membantu serba sedikit. Syukur Tuhan pertemukan.
"Kami hadiahkan sebuah motosikal baharu buat Pakcik Basri supaya boleh digunakan untuk menghantar dan ambil anaknya,ke bandar membeli barangan keperluan dan memudahkan sedikit kerjanya.
"Terkejut beliau nampak motosikal ini dan dalam masa yang sama sangat bersyukur. Mungkin ini rezeki anak katanya. Beliau tidak pernah menyangka akan mendapat hadiah motosikal. Rezeki ni semua dari Tuhan untuk keluarga orang yang baik baik. Tuhan sayang pakcik dan keluarga," kongsi Adrian.
Ternyata pengorbanan bapa ini sungguh besar. Biarpun tidak memiliki kemudahan kenderaan tetap berusaha menghantar anak ke sekolah dengan kudrat yang ada.
Edy turut berkongsi pengorbanan dan kasih seorang bapa untuk melihat anaknya menjadi insan berpendidikan.
"Pakcik Basri dahulu kerja jual aiskrim di sekitar Lahad Datu. Selama 11 tahun beliau menjualnya namun terpaksa berhenti disebabkan keadaan kesihatan yang kurang mengizinkan. Dengan keuntungan jualan dari pagi sampai petang sebanyak RM30 hingga RM40 beliau menyara 10 anak," kongsinya lagi.
Menurut Edy, setiap hari Basri akan mengayuh basikal bermula jam 11 pagi untuk menghantar Putri Sarah dan menjemput pulang pada jam 5 petang.
"Selepas hantar anaknya, Pakcik Basri akan tunggu di masjid sambil solat sehingga jam 5:00 petang baru ambil Putri Sarah balik.
"Jarak dari rumah ke sekolah dalam 20 minit juga.
"keluarga ini tiada kereta. Jika perlu ke bandar, mereka akan menumpang orang," katanya.
Memuat naik gambar dengan basikal yang diubahsuai warga emas itu pada jarak dekat, Edy meluahkan rasa kagum.
"Saya sempat tengok basikal yang pakcik Basri pakai. Unik dan kreatif sangat, tempat simpan beg sekolah pakcik gunakan tong sampah kecil manakala ruang untuk kaki juga gunakan tong sampah kecil.
"Pertama kali dalam seumur hidup saya lihat basikal yang unik seperti itu. Kalau hujan dia akan pasang kain di atas tu untuk lindungi Putri Sarah.
"Katanya biarlah pakcik berpanas dan berhujan janji anak pakcik tidak kena hujan dan panas katanya," kongsi Edy lagi.
Beliau turut memberikan sumbangan wang dan bekalan makanan buat keluarga itu.
Kesukaran hidup ternyata bukan alasan untuk berputus asa. Warga maya meluahkan rasa terharu di atas pengorbanan Pakcik Basri demi Putri Sarah.
Rata-rata mengakui tersentuh hati dan mengucapkan terima kasih buat Edy atas bantuan yang dihulurkan. Ujar mereka:
"Masa tengok video dia dengan anaknya balik dari sekolah tu, saya sebak. Alhamdulillah sudah ada motosikal memudahkan pergerakan Pakcik Basri selepas ni."
"Terbaik bro, semoga sentiasa dlimpahkan rezeki dan terus membantu orang yang memerlukan."
"Terima kasih orang baik."
"Pengorbanan seorang ayah untuk melihat anaknya menjadi orang berguna. Terima kasih orang baik membantu."
Sumber: Adrian Edy
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang