Bayangkan seorang anak berusia 10 tahun, menghafaz 30 juzuk al-Quran dalam tempoh empat bulan enam hari. Sudah cukup menakjubkan, bukan?
Tapi apa yang menjadikan kisah ini lebih luar biasa, anak itu merupakan seorang anak istimewa dengan mild autism.
Iklan
Iklan
Iklan
Nama adik kecil itu Ziyad. Lembut wajahnya, tenang tutur katanya, namun di sebalik itu tersembunyi daya ingatan yang luar biasa. Sebelum pun menjejak kaki ke Akademi al-Quran Amalillah (AKMAL), Ziyad sudah pun menghafaz 42 surah.
Iklan
Ya, bukan dua atau tiga, tapi empat puluh dua. Bila masuk AKMAL, dia buktikan lagi kemampuannya, khatam 30 juzuk dalam masa tak sampai lima bulan! Kisah Ziyad menjadi antara sorotan paling menyentuh hati di Majlis Haflah Takrimiah AKMAL Kali ke-6 yang berlangsung pada 1 Jun di Bangi Avenue Convention Centre.
Bertemakan"Menobatkan Pejuang al-Quran, Menyaksikan Air Mata Syukur”, majlis itu cukup meriah, tapi penuh sakinah, dengan linangan air mata para ibu bapa yang bangga dan bersyukur melihat anak-anak mereka berjaya menjadi hafiz dan hafizah. Dan bukan Ziyad seorang sahaja. Seorang lagi pelajar, adik Muhamad Aiman, 16 tahun, juga diraikan atas kejayaannya menamatkan hafazan dalam tempoh kurang dari setahun.
Dalam dunia pendidikan tahfiz, pencapaian ini bukan biasa-biasa. Ramai pelajar lain juga menunjukkan prestasi hebat dengan hafazan 30 juzuk dalam tempoh antara dua hingga enam bulan.
Macam tak percaya, tapi inilah bukti kuasa usaha dan keberkatan kalamullah. Majlis kali ini juga turut menyaksikan seorang lagi nama dikenali diraikan, anak kepada Syah Inteam, selebriti nasyid yang tidak asing lagi dalam dunia dakwah hiburan.
Menurut pihak penganjur, anaknya juga telah berjaya menamatkan hafazan dan kini bergelar hafiz. Secara keseluruhan, seramai 150 pelajar huffaz diraikan dalam majlis ini yang dirasmikan oleh mantan Menteri Agama, Datuk Sri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri.
Turut hadir, ibu bapa, guru, alumni dan rakan strategik pendidikan al-Quran dari seluruh negara. Lebih daripada sekadar majlis penyampaian sijil, haflah ini ibarat pentas untuk menyaksikan keajaiban apabila sistem pendidikan tahfiz yang sistematik dipraktikkan.
Program"Hafiz Setahun” anjuran AKMAL kini menjadi antara program tahfiz paling diyakini di Malaysia. Ia bukan sekadar menekankan hafalan, tetapi turut memberi tumpuan pada motivasi harian, pemantauan konsisten dan pembentukan akhlak.
Program itu berasaskan Modul 6 Rukun Hafiz yang dibangunkan khusus untuk mencipta persekitaran belajar yang efisien, bukan sekadar suruh hafal, tapi bantu faham dan hayati.
Dalam pada itu, AKMAL mengajak lebih ramai pihak berkolaborasi bersama agar misi AKMAL melahirkan 10 ribu huffaz setiap tahun menjelang 2030 tercapai
Impian tersebut bakal menjadi kenyataan bilaman pihaknya kini sudah melangkah ke fasa lebih besar dengan merancang penubuhan pusat pengajian tinggi sendiri, khas untuk para huffaz.
Mereka juga telah memeterai perjanjian persefahaman (MoU) bersama Markfield Institute of Higher Education (MIHE) di United Kingdom.
Ini bermakna, selepas khatam al-Quran, pelajar AKMAL ada peluang menyambung pengajian dengan pengiktirafan antarabangsa. Satu perkembangan yang cukup membanggakan!
Apa yang lebih penting dari semua ini ialah mesej besar yang cuba disampaikan AKMAL melalui majlis ini, bahawa setiap anak itu ada potensi, tidak kira siapa mereka.
Sama ada anak autisme, anak selebriti, atau anak dari keluarga biasa. Bila diberi peluang, bimbingan dan sokongan betul, mereka mampu menjadi pewaris kalamullah.