SYURGA makan tanpa had! Memang tak sangka Pennsylvania, Amerika Syarikat menjadi tumpuan food hunter kerana memiliki bufet terbesar di dunia.
Macam tak percaya, tempat makan itu siap ada rating 4.6 bintang tau. Jadi scroll sampai habis untuk tengok apa yang pemilik restoran hidangkan setiap hari.
Lapor The US Sun, populariti Shady Maple Smorgasbord sudah mengubah kawasan East Earl, Pennsylvania jadi tumpuan pelancong yang tak dijangka sejak beberapa tahun kebelakangan ni.
Bukan saja orang lokal, malah pelancong juga sanggup singgah untuk menikmati hamparan makanan seluas 100,000 kaki persegi semata-mata nak cabar diri dengan bufet terbesar di dunia.
Disebabkan viral dengan tarikan menu ekstravaganza, seorang pencinta makanan yang juga influencer, Amorray Marcano sanggup terbang dari New York untuk ke sana.
Wanita cantik itu dalam video yang dikongsikan kepada pengikutnya memenuhkan pinggan dengan pelbagai makanan dengan caj bayaran hanya £10 (lebih kurang RM60).
Apa sajian yang beliau cuba? Daripada stik gergasi, milkshake super pekat, sampai ke pai Amish memang nampak menyelerakan, bahkan restoran itu sediakan makanan cukup untuk 10,000 orang setiap hari!
Kata Marcano, beliau yang rajin berkongsi konten berkaitan benda menarik di sekitar New York juga terpanggil untuk mencuba bufet terbesar di Amerika Syarikat tersebut.
“Paling saya risau kualiti makanan sebab biasanya orang makan bufet sekadar untuk pengalaman. Ambil makanan melambak-lambak dan nak rasa semuanya,” katanya.
Bagaimanapun, pempengaruh berusia 29 tahun itu terkejut dengan rasa makanan untuk beberapa menu seperti hidangan catfish memang padu.
“Ada juga masakan bagi saya biasa-biasa sebab ada kurang perasa dan kering,” kongsinya yang memuat naik di Instagram yang memiliki 440,000 pengikut.
Akui bintang media sosial itu, Shady Maple Smorgasbord memang lain daripada lain dengan rating tinggi melangit di media sosial, ditambah harga bufet tanpa had memang berbaloi.
“Malam saya pergi tu harga dalam $27 (RM114.63) je, tapi jumlah makanan yang kita dapat tu memang jauh lebih bernilai daripada harga tu,” katanya yang juga kurang selesa kerana ramai sangat orang.
Beliau dan rakannya terpaksa beratur 30 minit disebabkan barisan panjang sangat meskipun tempat itu di kawasan luar bandar dengan penduduk tak sampai 2,000 orang.
Kalau diikutkan, kawasan East Earl sebenarnya kawasan kampung Amish yang tenang, tetapi restoran itu boleh tarik crowd sampai lima kali ganda daripada populasi bandar!
“Jujurnya, saya agak overwhelmed sebab saya jangka makanan banyak, tapi tak jangka manusia pun penuh satu dunia.”
Namun lepas suapan pertama, Marcano terus faham kenapa tempat tersebut jadi kegilaan ramai. Lagi membuatnya kagum, pilihan minuman memang luar biasa.
“Ada juga mesin kopi, stesen coklat panas dan booth milkshake. Semua makanan dan minuman memang layan. Paling best, pengunjung tak perlu bagi tips!,” katanya.
Bufet yang dibuka dari jam 7 pagi hingga 7.30 malam itu menawarkan sarapan pagi, makanan tengah hari dan makan malam bermula Isnin sampai Sabtu.
Boleh dikatakan menu Shady Maple Smorgasbord meriah dengan hidangan grill, 46 jenis salad, tiga jenis sup, enam jenis roti buatan sendiri, empat jenis keju, lapan jenis daging, 14 sayur-sayuran, 10 pencuci mulut sejuk dan panas, lapan jenis pai serta enam jenis kek.