SAYUNYA! Baharu kehilangan bapa tersayang, pelakon dan dan pengacara terkenal, Fahrin Ahmad berkongsi momen terakhir bersama insan tersayang.
Hampir sebulan selepas pemergian bapanya, Allahyarham Ahmad Bin Atil, Fahrin menerusi rakaman siaran program Wanita Hari Ini yang tular di TikTok, sebak dan menitiskan air mata meluahkan rasa terkilan.
Suami kepada Elena Hani Eleas itu sempat menitip pesan buat mereka yang masih memiliki orang tua agar menghargai masa bersama selagi masih ada.
"Bila kita sudah jadi bapa, baru kita lebih memahami kehilangan seorang bapa.
"Kalau boleh diundur masa, banyak lagi kita nak buat dengan dia. Sedikitlah kalau saya boleh kongsikan.
"Terkilannya saya kerana semasa kali terakhir berjumpa tempoh hari, saya tak peluk dia.
"Saya juga tidak sempat meluahkan yang saya sangat menyayanginya. Saya sangat bangga dan berterima kasih. Saya harap dia bangga dengan saya," ujar Fahrin dengan dalam sebak.
Pelakon Pilot Cafe itu juga sempat menitipkan nasihat kepada semua terutama anak-anak supaya tidak bertangguh dalam menzahirkan kasih sayang
"Seorang ayah walau setegas mana sekalipun, dia hebat dan hero. Walaupun dia macam nak tak nak peluk, peluk sahajalah.
"Peluk dan cium dia, kerana ayah memang begitu.
"(Apa) yang akhirnya yang boleh memujuk hati adalah doa-doa kita untuknya setiap kali solat dan setiap kali kita teringat.
"Ini pesan saya kepada anak-anak di luar sana, baik ayah mahupun ibu, tunjukanlah kasih sayang.
"Ambil gambar banyak-banyak. Kerana kita tak tahu masanya (akan tiba) bila," kongsi Fahrin dengan linangan air mata.
Terdahulu, bapa Fahrin meninggal dunia ketika pelakon tersebut sedang menghadiri sebuah acara di Pasir Gudang, Johor. Dia kemudian meninggalkan acara berkenaan untuk bergegas pulang ke Kuala Lumpur.
Biarpun tidak dapat bersama pada saat akhir, dia sempat mengimamkan solat jenazah Allahyarham dan bersama menguruskan pengebumian insan tersayangnya itu di Tanah Perkuburan Islam Bukit Mahkota, Kajang.
Sumber: TikTok