BUKAN saja kena maki hamun, seorang wanita dimalukan secara terbuka apabila diikat pada pokok oleh orang kampung di Narayanapuram, India.
Lapor Deccan Chronicle, sebelum kejadian, Sirisha, 29, dikatakan disergah penduduk selepas didakwa suaminya gagal melangsaikan hutang kira-kira RM4,400.
Lagi kasihan, mangsa sebenarnya baru saja pulang dari Bengaluru untuk ambil sijil pindah sekolah anaknya sebelum berdepan situasi mengaibkan tersebut.
Lelaki mangsa, Thimmarayappa dikatakan berhutang kira-kira Rupee 80,000 dengan seorang penduduk bernama Munikannappa dan beberapa organisasi lokal lain.
‘Panggil suami kau sekarang!’
Kejadian jadi makin tegang apabila penduduk paksa Sirisha telefon suaminya supaya selesaikan hutang.
Nak dijadikan cerita, keadaan bertambah panas bila anak perempuan Sirisha didakwa menampar salah seorang penduduk sekali gus mencetuskan kekecohan.
Lapor polis, Sirisha telah diikat pada sebatang pokok di jalan besar dan dihina secara terbuka oleh orang kampung.
Apa yang lagi sedih, Sirisha mendakwa telah ditinggalkan suami di Bengaluru sejak enam bulan lalu.
Namun, pihak polis percaya mereka masih berhubung tentang hal kewangan.
Ketua menteri campur tangan
Insiden tersebut nampaknya menarik perhatian Ketua Menteri Andhra Pradesh, Chandrababu Naidu yang mengecam keras tindakan kejam itu.
“Tiada siapa boleh ambil undang-undang di tangan sendiri,” tegasnya dalam kenyataan rasmi.
Beliau turut arahkan agar keluarga mangsa diberi bantuan sepenuhnya dan mahu pihak berkuasa tingkatkan kesedaran undang-undang di kampung-kampung.
Naidu turut tegaskan bahawa kerajaan pimpinannya tidak akan berkompromi dengan insiden sekejam ini.
“Saya gesa langkah pencegahan lebih tegas diambil segera.”
Selepas kes itu, polis telah menahan lima individu untuk membantu siasatan.