SUKA penulis mendengar perkongsian daripada pelajar-pelajar cemerlang. Masing-masing mempunyai teknik dan resipi kejayaan tersendiri.
Salah seorang daripada lapan pelajar terbaik Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2024, Muhammad Irham Mazlan, 18, yang mengukir kejayaan manis meraih keputusan 5A dan purata nilai gred kumulatif (PNGK) 4.00 turut mengakui hafalan al-Quran melatih otaknya fokus serta mengingat.
Hafalan al-Quran tidak asing baginya. Bekas pelajar prauniversiti Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Panglima Raja, Pasir Mas itu sudah mula menghafal 26 juzuk al-Quran di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tok Bachok Tahfiz Model Ulul Albab dan meneruskannya walaupun sudah bersekolah di sekolah harian biasa semasa Tingkatan 6.
Memang diakui menghafal al-Quran memberikannya kelebihan mengingati pelajaran.
“Hafazan melatih otak untuk fokus dan ingat,” katanya kepada Sinar Harian.
Dengan pengalamannya menguasai hafalan 26 juzuk al-Quran, anak kepada pasangan pendidik Mazlan Ahmad dan Sharifah Nuraini Syed Ab Kadir itu menggunakan teknik yang sama dalam menelaah akademik iaitu dengan mengulang nota serta menjawab latihan secara berterusan.
Berikut adalah tip cemerlang yang diamalkan:
1-Muhammad Irham membentuk kumpulan belajar kecil bersama rakan-rakan.
2-Beliau dan rakan-rakan kekal berada di sekolah untuk belajar sama ada di surau, dewan seminar dan blok akademik sehingga jam 11 malam setiap hari untuk melakukan revisi bagi menguasai semula isi pelajaran.
3-Menggunakan sistem mentor-mentee, Muhammad Irham dan rakan-rakan dalam kumpulan kecilnya akan menjawab soalan berulang-ulang.
4-Suasana pengajian berteraskan nilai Islam di sekolah juga membantunya cemerlang.
5-Setiap pagi akan mulakan dengan bacaan Quran, solat sunat, tazkirah.
6-Pada sebelah petang, para pelajar akan membaca surah al-Waqiah.
“Ini amalan harian yang bantu tenangkan jiwa dan kuatkan semangat,” jelasnya yang
sudah tiga kali khatam al-Quran ketika di sekolah rendah.
Ternyata, al-Quran bukan sekadar penenang hati, malah menjadi sumber inspirasi, disiplin dan motivasi yang mendorong untuk terus berusaha tanpa berputus asa. Moga menjadi inspirasi!
Sumber: Sinar Harian