BAYANGKAN balik kampung semata-mata nak jenguk emak ayah sendiri, tapi bila pulang ke rumah mentua, pakaian dah siap berbungkus depan pintu.
Lapor rubrik.co.id, itu yang terjadi kepada seorang wanita dari Sulawesi Selatan, Indonesia apabila kisahnya yang menyayat hati tular di media sosial.
Dalam video yang dimuat naik oleh seorang pengguna Facebook, wanita itu dilihat terpinga-pinga di hadapan rumah selepas tidak dibenarkan masuk.
Pintu bilik dikunci, baju semua dah diangkut keluar. Lagi pedih, perempuan itu dimaklumkan bahawa dia kini ‘haram untuk kembali ke rumah tersebut’.
Difahamkan, wanita dikenali sebagai RN sudah tujuh tahun mendirikan rumah tangga dan terpaksa berjauhan dengan suami yang bekerja di Kalimantan.
Disebabkan PJJ dengan suami, wanita itu terpaksa tinggal di rumah keluarga mentua gara-gara belum ada rumah sendiri.
Peraturan pelik
Peliknya, hidup dengan mentua dengan peraturan tak masuk akal termasuklah tak boleh pulang jenguk keluarga sendiri membuatkan wanita itu stress.
“Saya tertekan sangat sebab dah lama tak jumpa keluarga. Sebab tu saya balik kampung, bukan nak lari, cuma rindu,” katanya kepada media tempatan.
Malangnya, tindakan sedemikian membuatkan ibu mentuanya naik angin. Tanpa berbincang elok-elok, wanita tersebut diusir sebaik sahaja kembali ke rumah.
“Pakaian saya semua dah dibungkus. Saya disuruh ambil dan terus keluar. Langsung tak diberi ruang nak jelaskan,” luahnya lagi.
Lebih menyedihkan, dia bukan saja dihalau oleh ibu mentua, malah bapa mentua dan ipar pun sama naik hantu dan jadi batu api.
Rata-rata netizen bersimpati dan mengecam tindakan keluarga mentua yang dianggap keterlaluan dan tidak berperikemanusiaan.
Pun demikian, terdapat juga komentar supaya orang ramai tidak cepat menilai dan tunggu penjelasan dua pihak.
Dedah perangai sebenar suami
Selepas kisah RN semakin jadi perhatian ramai, wanita itu kemudian dedahkan sisi gelap suaminya yang bukan saja suka pukul, malah kaki botol.
Lapor portal itu lagi, wanita itu tanpa berselindung bercerita tentang apa yang sebenarnya berlaku sepanjang perkahwinannya.
“Bukan masa merantau je saya kena pukul, masa kat kampung dekat rumah mentua pun sama… dia memang ringan tangan.
“Kalau dia tengah mabuk, memang suka pukul. Saya pun takut nak buat laporan polis,” katanya lagi.
Disebabkan masalah rumah tangga makin teruk, ibu bapanya yang sebelum ini merantau, terpaksa balik kampung untuk beri sokongan emosi pada anak mereka.
“Mak ayah saya pun perantau tapi bila tahu apa jadi kat saya, mereka balik kampung terus,” ujarnya yang mahu memfailkan penceraian.
Difahamkan, kini RN tinggal bersama makciknya selepas dihalau mentua.