KITA semua pernah ada hari yang sangat sibuk. Penat bekerja atau melayan anak-anak di rumah pastinya wanita perlukan sedikit masa untuk diri sendiri. Siapa sangka, niat nak manjakan diri sekejap boleh bertukar menjadi detik yang mengubah hidup selama-lamanya.
Itulah yang terjadi kepada Maya Hernandez, seorang ibu muda berusia 20 tahun dari Bakersfield, California. Anak keduanya, Amillio Gutierrez, setahun, meninggal dunia selepas ditinggalkan selama hampir dua jam dalam sebuah kereta.
Menurut laporan NBC News, Maya membuat keputusan untuk singgah ke spa kecantikan untuk membuat rawatan suntikan bibir.
Prosedur yang katanya tak lama, sekitar 15 hingga 20 minit sahaja. Sebelum masuk spa, Maya meninggalkan dua orang anaknya Amillio dan abangnya berusia dua tahun di dalam kereta.
Wanita tersebut tidak mematikan enjin dan memasang penghawa dingin.
Namun, ramai yang tidak tahu, kereta jenis Toyota Corolla Hybrid yang digunakannya ada satu fungsi automatik yang mana enjin akan tertutup sendiri selepas kira-kira 60 minit jika tiada pergerakan.
Bila itu berlaku, penghawa dingin juga akan berhenti berfungsi. Suhu luar pada hari itu pula mencecah 38°C. Dalam masa sejam lebih, suhu dalaman kereta boleh menjadi panas 60°C. Macam dalam ketuhar.
Merasakan anak-anak akan selamat berada di dalam kereta, ibu ini meninggalkan bekalan snek, makanan dan juga susu untuk anak-anaknya jika mereka lapar.
Bila Maya habis rawatan hampir 90 minit kemudian, dia ke keretanya dan mendapati Amillio dalam keadaan tak sedarkan diri, sawan dan berbuih di mulut. Manakala, anak sulungnya pula dalam keadaan keletihan, lemah dan kepanasan.
Maya sempat memberikan bantuan pernafasan kepada Amillio dan menghubungi talian kecemasan.
Kedua-duanya segera dikejarkan ke hospital tetapi segalanya dah terlambat. Bayi kecil itu disahkan meninggal dunia dengan suhu badan mencecah 42.8°C. Si abang bernasib baik, masih stabil dan kini di bawah jagaan pihak perlindungan kanak-kanak.
Wanita itu kini berdepan tuduhan jenayah termasuk manslaughter (pembunuhan tanpa niat) dan kekejaman terhadap kanak-kanak. Dia telah dibicarakan dan mengaku tidak bersalah.
Kes ini menggemparkan ramai bukan sahaja di California tetapi juga seluruh dunia.
Nenek kanak-kanak itu, Katie Martinez, berkata sesuatu yang menyentuh hati:
Kisah ini boleh dijadikan pengajaran buat ibu bapa semua. Jangan tinggalkan anak walau sekejap di dalam kereta. Tak kiralah cuaca panas atau hujan kerana malang tidak berbau.