CANTIK dan pintar, puteri sulung Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Nur Zahirah kini pemilik sarjana dalam bidang tekstil dari University for the Creative Arts (UCA), United Kingdom.
Menerusi hantaran di Instagram, Tengku Puteri Utama Raja, Yang Amat Mulia Tengku Nadhirah Zahrah berkongsi foto kenangan konvokesyen bersama ayahanda, bonda dan adinda-adindanya dan berkongsi berita gembira.
"10 Julai 2025, Master’s graduation day," titipnya yang terdahulu meraih ijazah sarjana muda dari universiti yang sama.
Sementara itu, menerusi laman sosial Kesultanan Pahang, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan tahniah buat Tengku Nadhirah yang diraikan bersama graduasi puteri bongsu paduka baginda berdua, Tengku Puteri Jihan Azizah 'Athiyatullah.
"Kejayaan anakanda sulung Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah dan Sultanah Nur Zahirah menamatkan pengajian di peringkat sarjana dalam bidang yang begitu bernilai ini bukan sahaja membanggakan paduka baginda berdua, malah turut menjadi inspirasi kepada generasi muda, khususnya dalam mengangkat martabat seni dan warisan tekstil di peringkat antarabangsa," titipnya.
Sekadar info, Tengku Nadhirah diputerakan pada 18 Disember 1996 sering kali muncul dalam pelbagai majlis bersama keluarga dan rakyat jelata.
Keayuan baginda persis bonda, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah yang sentiasa tampil anggun dan kemas.
Tidak hanya itu, Tengku Nadhirah berkongsi minat dengan ayahandanya mencintai sukan air iaitu selam skuba.
Kakanda kepada Duli Yang Teramat Mulia Yang Di Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail, Yang Amat Mulia Tengku Sri Setia Mahkota, Raja Tengku Muhammad Mua’az dan Tengku Fatimatuz Zahra’ menjadi perhatian warganet.
Warganet merafakkan sembah tahniah buat Tengku Nadhirah atau mesra disapa Tengku Naddy.
Tidak ketinggalan, ramai yang memuji keanggunan Tengku Puteri Utama Terengganu itu.
"Congrats Ku Naddy, beauty with brain! Allahuma barik."
"Tahniah our lovely Tengku Naddy."
"Masya-ALLAH, next PhD pula. Tahniah."
"Congrats tuan puteri. Cantiknya Tengku Naddy."
Sumber: Instagram