'Beauty with brain', Tengku Puteri Jihan genggam Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama bidang tekstil
BEAUTY with brain. Demikian ungkapan yang sesuai buat puteri berjiwa rakyat, Tengku Puteri Jihan Azizah 'Athiyatullah Al-Sultan Abdullah.
Terbaharu, menerusi sebuah video tular, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah meluangkan masa menghadiri majlis graduasi Tengku Puteri Jihan, 23, di United Kingdom (UK).
Menerusi kenyataan, seluruh warga Majlis Kesultanan Pahang (MKP) menyampaikan ucapan setinggi-tinggi tahniah atas kejayaan puteri bongsu baginda berdua yang meraih keputusan cemerlang Ijazah Sarjana Muda (Kepujian Kelas Pertama) dalam bidang Tekstil dari University for the Creative Arts (UCA), UK.
"Kejayaan ini merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan, bukan sahaja kepada keluarga diraja Pahang tetapi juga kepada rakyat negeri Pahang.

"Kejayaan Yang Amat Mulia Tengku Puteri Raja menamatkan pengajian dengan keputusan yang cemerlang dalam bidang kreatif dan teknikal seperti tekstil mencerminkan keazaman, kesungguhan serta dedikasi yang tinggi sepanjang tempoh pengajian.
Artikel penuh:
Genap 22 tahun, Tunku Azizah titip ucapan manis buat Tengku Jihan. 'My miracle child'
"Bidang tekstil yang melibatkan elemen seni, reka bentuk, warisan dan inovasi merupakan cabang ilmu yang semakin penting dalam memperkaya budaya serta memartabatkan identiti bangsa.
"Pencapaian ini juga membuktikan bahawa golongan muda, khususnya wanita, mampu menyerlah dalam bidang yang mencabar serta berpotensi besar untuk diterokai di peringkat global
"Seluruh warga MKP amat berbangga dengan kejayaan Tengku Puteri Raja yang boleh dijadikan sumber inspirasi dan aspirasi kepada generasi muda, terutamanya dalam membina masa depan yang gemilang berasaskan ilmu, kreativiti dan nilai budaya," katanya dalam kenyataan.

MKP juga berharap Tengku Puteri Jihan akan terus melakar lebih banyak kejayaan dalam apa jua bidang yang diceburi selepas ini serta berupaya menyumbang ke arah pemerkasaan industri kreatif tanah air, khususnya dalam memperkasa warisan tekstil tempatan di persada antarabangsa.
Umum mengetahui seni kraf tekstil adalah kecintaan Tengku Ampuan Pahang tidak asing lagi dengan perjuangan dalam memartabatkan warisan tekstil negara.
Baginda mahu usaha memelihara seni kraf tekstil diteruskan bagi mengangkat sejarah dan warisan negara itu.
Menerusi ruangan komen, warganet turut menitipkan ucapan tahniah dan menzahirkan rasa bangga atas kejayaan Tengku Puteri Jihan.
Sekadar info, selain Tengku Jihan, Tunku Azizah memiliki lima putera dan puteri iaitu Tengku Ahmad Iskandar Shah yang meninggal dunia ketika kecil pada 24 Julai 1990, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, 28, Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah, 26, Tengku Ahmad Ismail Muadzam Shah, 23, dan Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah, 23. Tengku Muhammad dan Tengku Puteri Afzan adalah pasangan kembar tidak seiras.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
