Rindu seorang adik terhadap kakaknya boleh jadi amat mendalam, apatah lagi apabila hubungan mereka sangat rapat sejak kecil.
Itulah yang diluahkan oleh seniwati terkenal, Noor Kumalasari, 69, yang mengakui masih menyimpan rasa rindu mendalam terhadap kakaknya, Anita Sarawak, 72, yang sudah lebih sedekad tidak muncul di khalayak.
“Saya betul-betul rindukan kamu dari lubuk hati ini,” kata Noor dalam temu bual bersama Syahril A Kadir menerusi program audio siar di saluran Tanah Berdaulat TV yang mula disiarkan di YouTube baru-baru ini.
Sejak Anita dilaporkan meninggalkan Malaysia secara tiba-tiba dan pulang ke Amerika Syarikat pada tahun 2011, tiada siapa yang benar-benar pasti tentang keberadaannya.
Noor mendedahkan bahawa kali terakhir mereka berbual panjang adalah kira-kira dua tahun lalu.
Menurut Noor, dia sangat merindui suasana ketika mereka boleh bercerita panjang dan ketawa bersama, seperti yang selalu dilakukan suatu masa dahulu.
Katanya, hubungan mereka berdua sangat rapat, lebih-lebih lagi kerana membesar dalam dunia seni yang sama.
"Kami berkongsi cita rasa sama termasuklah bab mekap, beg tangan dan sebagainya. Saya pernah turun ke Singapura untuk lihat dia menyanyi," ujarnya.
“Sudah berapa lama kita tidak bercerita panjang, ketawa dan faham antara satu sama lain, seperti waktu dahulu,” ujarnya dalam nada sayu.
Mengimbas kembali kenangan lama, Noor berkata Anita adalah insan yang cukup istimewa dalam hidupnya. Selain sebagai kakak, Anita juga pernah menjadi tempat dia bergantung ketika menghadapi saat sukar dalam kerjayanya.
MENIRU GAYA ANITA
Noor berkongsi satu kisah ketika dirinya dikritik hebat oleh wartawan selepas membuat persembahan di sebuah stadium di Kuala Lumpur pada era 1970-an.
Ketika itu, ada pihak yang mendakwa suaranya tidak sedap dan hanya meniru gaya Anita. Kritikan itu memberi tekanan hingga menyebabkan Noor mengalami kemurungan.
“Saya dikritik teruk apabila dikatakan tidak boleh menyanyi. Suara saya dikatakan sama macam Anita dan hendak tiru dia hingga saya alami kemurungan,” katanya.
Namun, Anita tidak membiarkan Noor terbenam dalam kesedihan. Ketika itu, Noor yang berada di Singapura telah menghubungi Anita untuk meluahkan rasa kecewanya. Kata Noor, Anita memberi nasihat yang cukup membina dan menyedarkannya bahawa kritikan adalah sebahagian daripada perjalanan seorang anak seni.
“Anita nasihatkan saya, kalau hendak jadi orang seni, kena telan semua kritikan terutama sekali penyanyi. Anita suruh saya ambil kritikan itu sebagai cabaran untuk perbaiki diri,” kongsinya lagi.
Menyentuh tentang pemergian Anita ke Amerika Syarikat, Noor mendedahkan bahawa dia tidak dimaklumkan lebih awal.
Semuanya berlaku dengan mendadak. Noor hanya mengetahui tentang hal itu selepas diberitahu oleh salah seorang kakak mereka.
"Keputusan Anita pergi memang mendadak. Saya tergamam waktu dihubungi salah seorang kakak kami, dia beritahu, mereka sudah hantar Anita pulang,” ungkap pemilik nama sebenar, Noor Kumalasari Mohamed Taib itu lagi.
AYAM ADOBOO HIDANGAN KEGEMARAN
Sejak itu, tiada lagi berita sahih tentang Anita. Noor tidak pernah berhenti berdoa dan berharap agar kakaknya itu berada dalam keadaan baik, sejahtera dan bahagia bersama suaminya, Mahathir.
"Dia selalu berhubung dengan akak untuk berkongsi perkembangannya. Dua tahun lepas saya ada bercakap dengannya. Saya gembira kerana dia okay.
"Mungkin kerana dia tahu saya rapat dengan media, jadi enggan menyusahkan saya jika ada wartawan tanya. Jadi, saya faham situasinya.
“Semoga ALLAH rahmati Anita dan Mahathir, tetapkan iman dan beroleh ukhrawi yang diredai-NYA. Jaga diri dan Noor sayangkan Anita selagi hayat dikandung badan,” katanya dengan penuh emosi.
Bagi mengubat rindu yang mendalam, Noor sering memasak ayam adobo, iaitu hidangan kegemaran Anita. Katanya, itu antara cara dia mengingati dan merasakan kehadiran kakaknya walaupun hanya melalui kenangan.
Dalam temu bual tersebut, Syahril turut bertanya kepada Noor tentang kerinduan para peminat terhadap dirinya yang suatu ketika dahulu begitu aktif dalam dunia seni.
Noor yang juga penerima trofi Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-31, mengakui masih mengikuti komen dan mesej daripada peminat.
“Bagi saya berlakon dan menyanyi adalah kenangan manis. Saya tidak akan buka balik buku lama dengan izin ALLAH. Bagaimanapun, saya berharap peminat terus berdoa untuk saya. Sama juga, saya akan sentiasa doakan peminat,” kata pelakon Matinya Seorang Patriot itu lagi.