SECEPAT kilas angin, masa berlalu tanpa kita sedari. Hari demi hari, tahun demi tahun, dan kini, anak kecil yang suatu ketika dahulu didukung penuh harapan dan debar, telah pun menginjak usia remaja.
Baru-baru ini, pelakon dan hos, Catriona Ross memuat naik perkongsian di media sosial miliknya, bersempena hari lahir anak lelakinya, Jammal Raess.
Pemilik nama sebenar, Catriona Noorhayati Bahrin memberitahu, anak keduanya itu kini genap 13 tahun.
Dalam hantaran tersebut, dia mengakui segelintir keluarga, menganggap ulang tahun mungkin sekadar sambutan tradisi, namun tidak bagi mereka sekeluarga.
Ini kerana, ia merupakan satu detik luar biasa yang sarat dengan makna, air mata, dan syukur yang tak bertepi.
"Hari ini genap 13 tahun… dan saya masih tertanya-tanya, bagaimana masa berlalu begitu pantas. Dalam sekelip mata, kini ada seorang lagi remaja di dalam rumah," ungkapnya sebak.
Akuinya, perjalanan membesarkan anak autistik bukanlah satu jalan yang mudah.
Bermula pencarian tanpa henti untuk pusat intervensi terbaik, malam-malam panjang tanpa lena, serta hari-hari yang dipenuhi persoalan tanpa jawapan. Ia bukan perjuangan satu hari dua, tetapi perjuangan hidup yang penuh kasih dan tekad.
"Kata dunia, mungkin dia kurang mampu berbuat segalanya. Tapi bagi kami, dia cukup sempurna.
“Hanya yang pernah melaluinya akan faham betapa sunyi, keliru dan pedihnya peringkat awal. Tapi lama-kelamaan, kita mula nampak jalan.
“Happy 13th birthday, sayang. You are our miracle in motion,” luah Catriona dalam satu perkongsian menyentuh hati di media sosial.
Hari ini, mereka berdiri megah bukan kerana segala-segalanya telah sempurna, tetapi kerana berjaya melalui setiap cabaran dengan jiwa yang tabah.
Catriona turut berkongsi sambutan hari jadi Jammal Raess di sekolah bersama rakan-rakan dan guru-gurunya.
Suasana mungkin ringkas, tetapi cukup untuk menggambarkan betapa dia kini membesar dalam dunia yang memahami dan menyayanginya seadanya.
"Our"Handsome Leader" (Jammal Raess) celebrated his 13th birthday in school with his schoolmates & teachers.
"Semoga terus membesar sebagai lelaki budiman yang menawan hati, just as he is, always," ungkap ibu tabah itu penuh makna.
Kisah Jammal bukan sekadar catatan peribadi sebuah keluarga. Ia adalah pengingat buat semua bahawa dalam dunia yang mengejar kesempurnaan, masih wujud keindahan dalam ketidaksempurnaan.
Kasih yang tidak bersyarat, sabar yang tidak bertepi, dan pengorbanan yang diam, semua itu hidup dalam detik-detik membesarkan anak istimewa seperti Jammal.