SEBUT sahaja nama Edika Yusof, pasti ramai mengingatinya sebagai suami setia yang pernah tular kerana menjaga isterinya yang lumpuh selama berbelas tahun.
Namun, baru-baru ini masyarakat dikejutkan dengan berita penceraian pasangan tersebut.
Pasangan berkenaan sah bercerai pada 5 Mei lalu dengan talak satu di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur selepas 22 tahun bersama.
Biarpun sudah berpisah, pelakon Maria Mariana itu dilihat masih kerap memuat naik foto isterinya dan anak-anak.
Malah, mereka masih saling mengikuti (follow) dan menyokong satu sama lain di media sosial. Edika juga sering berkongsi mesej romantik secara terbuka.
Ramai peminat meninggalkan komen mendoakan agar mereka kembali bersama.
Terbaharu, satu hantaran Edika menarik perhatian ramai apabila dia dilihat seolah-olah memberi bayangan bakal rujuk semula.
Posting di Instagram dengan kapsyen pendek tetapi penuh makna — “Dengan sepenuh cinta. Suamimu, Edika Yusof” — terus mencuri tumpuan netizen. Tidak cukup dengan itu, komen daripada bekas isterinya, Nor Hidayah Yusri — “Terima kasih, sayang” — menimbulkan tanda tanya: adakah mereka sudah kembali sebagai suami isteri?
Ada juga yang menganggap mungkin mereka telah rujuk secara senyap, sementelah tempoh iddah masih belum tamat.
Penulis sempat menghantar pesanan ringkas kepada Edika bagi mendapatkan penjelasan lanjut.
“Insya-ALLAH, dalam proses.
"Perkara baik perlu diteruskan… terima kasih,” ujar Edika ringkas namun penuh makna.
Perkongsian itu nyata menggembirakan para peminat yang selama ini menyokong mereka.
Apatah lagi, setelah 22 tahun berkongsi suka duka, pastinya bukan mudah untuk melupakan setiap momen yang telah dikecapi bersama.
Apa pun sebagai orang luar, kita doakan yang terbaik buat pasangan ini. Yang penting, apa pun yang berlaku, Edika dan Hidayah telah membuktikan bahawa cinta sejati tidak semestinya berakhir walaupun ikatan sudah terlerai.