SIAPA sangka, bayi comel yang baru sahaja dilahirkan sebenarnya ‘bermula’ sejak lebih tiga dekad lalu?
Itu kisah luar biasa seorang bayi lelaki di Amerika Syarikat yang lahir daripada embrio dibekukan sejak tahun 1994 menjadikannya antara embrio paling lama disimpan iaitu semasa tayangan filem Forrest Gump dan pelancaran konsol PlayStation pertama.
Memetik laporan Sinar Harian, bayi yang dilahirkan pada 26 Julai di sebuah hospital di Knoxville, Tennessee, dengan berat kira-kira tiga kilogram itu diberi nama Thaddeus Daniel Pierce.
Kehadiran bayi itu bukan sahaja menggembirakan sebuah keluarga, tetapi juga mencipta sejarah dalam dunia perubatan moden.
Ibu bapa Thaddeus, iaitu Lindsey Pierce, 35, dan Tim Pierce, 34, memperoleh embrio itu daripada Linda Archerd, 62, yang menjalani rawatan kesuburan IVF pada 1990-an.
Archerd menyumbangkan tiga embrio kepada program pengangkatan embrio Kristian, Snowflakes.
Daripada tiga embrio tersebut, hanya dua berjaya hidup selepas proses nyahbekuan dan satu ditanam serta membesar menjadi bayi Thaddeus.
“Kami tidak bercita‑cita mencipta rekod; kami cuma mahu bayi,” kata Pierce.
Difahamkan, kelahiran Thaddeus ketika perdebatan berterusan di Amerika Syarikat berhubung status undang‑undang embrio beku masih berlanjutan selepas mahkamah di Alabama menyamakan embrio dengan kanak‑kanak.
Bagaimanapun, bagi Linda, sumbangan embrio tersebut membawa makna mendalam.
“Saya pernah melihat embrio ini sebagai ‘tiga harapan kecil’. Kini, seorang daripadanya hidup di dunia nyata,” ujarnya.