REZEKI tak pernah salah alamat, Itulah yang sedang dirasai pelakon dan usahawan, Syifa Melvin apabila mengumumkan dirinya kini hamil zuriat kedua.
Berkongsi khabar gembira itu di Instagram, Syifa atau nama penuhnya Nur Syifa Athirah Amirol Melvin memuat naik foto penuh makna bersama suami tersayang, Safawi Rasid yang memegang kit ujian kehamilan. Turut berada bersama ialah anak sulung mereka, Saif Sulaiman.
Senyuman yang terukir pada wajah keluarga kecil itu cukup menceritakan segalanya tanpa perlu kata panjang lebar.
Adik kepada pelakon popular Syatilla Melvin itu meluahkan rasa syukur kerana dikurniakan satu lagi ‘amanah’ untuk dijaga dan dibesarkan bersama.
“Bismillahi Masha- ALLAH, ALLAH hadirkan seorang lagi amanah untuk dijaga.
"Zuriat yang akan melengkapi kehidupan kami bertiga dan sahabat sedarah Sulaiman,” tulisnya.
Seperti ibu hamil lain, Syifa juga tidak lupa menitipkan doa agar perjalanan kandungan kali ini dipermudahkan dari awal hingga ke akhir.
“Doakan sempurna lancar sampai hujungnya.
"Tak boleh sorok eh dengan korang, mesti ada je yang nampak,” usiknya di hujung kapsyen.
AURA BAHAGIA
Walaupun baharu memasuki trimester awal, aura bahagia Syifa dan Safawi jelas terpancar, malah peminat dan rakan artis turut membanjiri ruangan komen dengan ucapan tahniah serta doa yang baik-baik.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 28 November 2022 dan dikurniakan anak sulung lelaki, Saif Sulaiman pada 9 Mei 2023.
Kehadiran anak kedua nanti pastinya menambah seri dan melengkapkan lagi keluarga kecil mereka.
Dalam dunia yang serba sibuk, kisah Syifa ini mengingatkan kita bahawa setiap rezeki datang tepat pada waktunya.
Dan bagi Syifa, tahun ini bukan sekadar tentang kerja dan kerjaya, tetapi juga tentang perjalanan indah bergelar seorang ibu.