Kakak reda adik baru 2 minggu di pusat latihan polis ‘pergi’ ketika hendak solat Subuh, lambaian terakhir undang sayu

Iklan

LAMBAIAN pelatih polis bantuan, Siti Norshahila Balqis Roslan, 19, dua minggu lalu ketika dihantar melaporkan diri di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Air Hitam, Jempol, Negeri Sembilan, kini menjadi detik terakhir yang meruntun jiwa.

Tiada siapa menduga, senyuman dan lambaian penuh semangat itu adalah perpisahan yang abadi. Sabtu lalu, gadis itu pergi menghadap Ilahi, meninggalkan keluarga yang kini hanya mampu mengenang memori terindah bersama.

Iklan
Iklan

Pemergian terlalu cepat, namun keluarga reda kerana mereka yakin, arwah telah dijemput pulang oleh Yang Maha Penyayang. 'Diambil' ketika sedang bersiap-siap menunaikan solat Subuh, kematian gadis ini benar-benar dicemburui.

Iklan

“Innalillahi wainna ilai hirojiun. Lambaian terakhir arwah. Baru dua minggu adik melaporkan diri untuk mengejar impian, namun ALLAH lebih menyayangi.

“Adik yang tidak pernah berjauhan daripada keluarga, akhirnya meninggalkan rumah buat selama-lamanya setelah menerima tawaran sebagai anggota polis. 

Iklan

“Seluruh keluarga yang gembira dengan berita (diterima masuk ke Pulapol) itu, namun kini kami hanya mampu merelakan pemergianmu. Allahuakbar.

“Adik pergi terlalu cepat, sayang. Dua minggu tanpa kehadiran adik di rumah terasa seperti dua tahun. Semoga adik tenang di sana. Aamiin,” kongsinya.

Kakaknya, Siti Norsyahadah Roslan, 22, yang dihubungi SinarPlus menjelaskan anak ketujuh dari sembilan adik beradik itu tidak mengalami masalah kesihatan yang serius sebaliknya hanya kepenatan dan demam.

Arwah meninggal dunia di Klinik Kesihatan Serting Hilir, Jempol pada 6.15 pagi dan punca kematian yang tepat masih belum diketahui.

“Tiba-tiba, adik rebah. Rakan-rakan segera memanggil anggota bertugas untuk membantu, namun setelah diperiksa, adik telah pun tiada,” kongsinya.

"Minggu pertama tu, dia demam mungkin sebab perubahan suasana, cuaca dan badannya tidak biasa dengan aktiviti lasak.

"Masuk minggu kedua arwah sudah okay, suara  tidak lagi serak. Malam sebelum meninggal dunia, arwah ada menelefon dan memaklumkan bahawa dia okay dan tiada apa-apa masalah apa pun, kawan-kawan pun semua baik.   

"Kami ada cakap seluruh famili di Kelantan hendak datang pada hari dia tamat latihan tapi arwah cakap:

"Ramainya, kenapa hendak datang semua. Nanti adik balik juga. Adik tidak mahu susahkan sesiapa. Saya rasa sebak apabila ingat kata-katanya itu semula.

"Arwah pergi ketika bangun dan bersiap-siap untuk solat Subuh," tulisnya.

Artikel berkaitan:

'Pergi' dalam perjalanan ke surau solat Subuh & seorang penuntut ilmu, video perjalanan terakhir pelajar sekolah ini meruntun hati!

Hentaman kuat tapi luka hanya pada dagu, guru al-Quran maut kemalangan insafkan warganet. 'Tidak berdarah, dia seperti sedang tidur'

Kisah sejadah selit di pinggang ketika marathon, pemergian suami jentik hati warganet

'Umi pergi sebagai tetamu, dijemput pulang dalam reda-NYA...'Anak luah rasa rindu, kenang pemergian ibu ketika solat Subuh

Jenazah arwah dibawa pulang ke Kampung Hutan Pasir, Ketereh, Kota Bharu, Kelantan selepas prosedur bedah siasat dan tiba pada jam 5 pagi Ahad,  dan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kok Lanas.

Pengebumian disempurnakan ahli keluarga dan antara momen menyentuh hati adalah ketika ibu bapanya menyiramkan air pada pusara arwah. Menyifatkan Allahyarham Siti Norshahila disenangi ahli keluarga, hantaran Siti Norsyahadah buat  meruntun hati. 

"Adik, kakak, ma dan abah telah sempurnakan jenazah adik. Tenanglah adik di rumah baru adik, tiada penat, tiada keluhan dan rehatlah.

"Ma dan abah reda adik pergi. Kami semua akan sentiasa kuat dan jaga ma serta abah utk adik.

"Insya-ALLAH bidadari syurga macam adik akan sentiasa kami ingat. Sebelum ini adik duduk di rumah dan tidak pernah berjauhan. 

"Tidak pernah bergaduh dengan adik beradik, seorang yang pendiam, manis dan murah dengan senyuman. Terima kasih, doa kami akan sentiasa mengiringimu insya-ALLAH," titipnya.

Sementara itu, laman Facebook Friends Of Polis Bantuan juga berkongsi berita pemergian arwah dan menitipkan ucapan takziah.

"Seluruh warga polis bantuan menzahirkan ucapan salam takziah kepada ahli keluarga Pelatih Polis Bantuan Siti Norshahila Balqis Roslan.

"Norshahila adalah diantara 207 pelatih yang kini sedang menjalani latihan Kursus Asas Polis Bantuan (KAPB) Siri 5/2025 di Pulapol Air Hitam.

"Sama-sama kita sedekahkan al-Fatihah dan doa semoga roh Allahyarham ditempatkan bersama yang beriman dan beramal soleh," titipnya.

Video 1.6 juta tontonan, rakaman berdurasi 24 saat itu mengundang sayu. Warganet tidak dapat menahan pilu menitipkan doa agar keluarga tabah.

Tidak kurang rakan-rakan dan orang sekeliling yang menceritakan kebaikan Siti Norshahila biarpun baharu dua minggu bersama. Rupanya wanita muda itu sudah lama menyimpan cita-cita menjadi anggota polis.

'Dari zaman sekolah arwah bercita-cita masuk PULAPOL' - Rakan

"Saya sempat berbual dengan arwah. Masih terdengar gelak tawanya semalam. Rakan yang sering menemaninya berasa sedih kerana dia sempat mengejutkan arwah daripada tidur. Menurut rakannya, arwah bangun untuk menunaikan solat Subuh di masjid. Sepanjang dua minggu berada di sini, arwah dikenali sebagai seorang yang baik. Semoga roh beliau ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan dikurniakan syurga," tulis Beautiful Butterfly.

"Bukan kerana penat tetapi kerana masanya sudah sampai ALLAH ambil semula," coret Ina Azlina.

"Al-Fatihah Siti Nurshahila Balqis. Semoga tenang sana sahabat. Dari zaman sekolah arwah bercita-cita masuk PULAPOL," kongsi @efaaa.

"Innalillahi wainnailaihi rojiun. Semalam baru adik saya sempat sembang dengan arwah. Adik kata arwah kuat dan tiada tanda-tanda dia hendak pergi selamanya. Salam takziah buat keluarga," titip Nur Farizah.

"Niat solat pun sudah baik. ALLAH lebih sayangkan dia, sudah ada taman syurga buatnya insya-ALLAH, jangan putus doa," kongsi @superboy.

"Salam takziah. Arwah pelatih yang baik walaupun hanya selama dua minggu dalam latihan. Semoga roh arwah dicucuri rahmat dan di tempatkan dalam kalangan orang yang beriman," coret Muammar Al-Gadaffi.

Semoga keluarga arwah  Siti Norshahila Balqis Roslan tabah, salam takziah daripada team SinarPlus.