'Umi pergi sebagai tetamu, dijemput pulang dalam reda-NYA...'Anak luah rasa rindu, kenang pemergian ibu ketika solat Subuh

No Image Caption
A
A
A

'TANAH suci menjadi saksi, umi pergi sebagai tetamu-NYA... dan dijemput pulang di bumi paling mulia...'

Itu antara bait kata yang meruntun jiwa dikongsi oleh seorang pemuda apabila ibu tersayang menghembuskan nafas terakhir ketika menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci Makkah, awal Syawal lalu.

Menerusi hantaran yang dimuat naik di TikTok, pemilik akaun @4zizz._ berkongsi detik-detik terakhir bersama arwah ibunya, Hamidah Darus sebelum bidadarinya itu berangkat ke Tanah Suci.

Menurutnya, sebelum berangkat, Allahyarham sempat menitipkan doa dan memberikan pelukan hangat kepada ahli keluarga tercinta yang akan setia menunggunya pulang.

Namun siapa sangka, perpisahan yang disangka seketika itu sebenarnya menjadi salam terakhir antara mereka sekeluarga.

"Aku masih ingat, sebelum langkah umi menuju ke Makkah. Kami sempat bersalaman, berpelukan erat.

"Hangat tubuh umi, lembutnya suara doa umi, masih jelas terasa di dada ini. Siapa sangka, itulah pelukan terakhir antara kita di dunia ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam suasana penuh duka, lelaki yang dikenali sebagai Abdul Aziz Che Noranuwi tetap memilih untuk melihat pemergian ibunya sebagai takdir terindah kerana dijemput Ilahi ketika beribadah di bumi penuh barakah yang dirindui umat Islam.

"Umi pergi sebagai tetamu, ALLAH memilih untuk menjemput umi di bumi paling mulia.

"Bumi Haramain kini menjadi tempat persemadian umi,tempat di mana doa-doa tidak pernah terputus.

"Setiap rindu aku iringi dengan harapan agar umi tenang di sisi-NYA,” tulisnya.

Abdul Aziz berkata ibunya yang berusia 60 tahun itu menghembuskan nafas terakhir ketika menunaikan solat Subuh di Makkah pada 3 April lalu.

Tambahnya, sepanjang berada di Tanah Suci, arwah ibunya mengalami demam ringan namun menganggap keadaan itu perkara biasa akibat perubahan cuaca.

Dalam hantaran lain, pemuda berusia 21 tahun itu turut meluahkan kerinduan akan tangan yang pernah membelai dan mendoakannya saat dia terlibat dalam kemalangan hingga patah kaki dan terbaring di hospital.

Dalam video yang dikongsi itu, kelihatan ibunya dengan penuh kasih sayang membasuh rambut anak lelakinya yang terbaring di atas katil hospital.

Perkongsian penuh emosi itu meraih perhatian ramai dan tular di media sosial.

Rata-rata warganet menitipkan ucapan takziah serta meluahkan rasa sebak, selain mengakui betapa bertuahnya arwah kerana dijemput Ilahi ketika menjadi tetamu-NYA di Tanah Suci.

“Tak semua dapat ‘hadiah’ seperti ini. Umi awak insan yang terpilih. ALLAH sayang, sebab itu Dia panggil umi pulang di tempat yang penuh rahmat.

“Salam takziah, semoga terus kuat dan tabah. Pemergian ini... benar-benar dicemburui,” komen seorang warganet.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang