PELAKON dan personaliti popular, Sarah Hildebrand, kini melalui fasa terindah dalam hidupnya apabila bergelar seorang ibu buat kali pertama.
Khabar gembira itu diumumkan sendiri oleh Sarah menerusi hantaran di Instagram, lengkap dengan foto istimewa bersama suami tercinta serta bayi comel mereka sejurus selepas kelahiran.
Senyuman jelas terukir di wajah pasangan ini, menyimpan seribu satu rasa syukur dan bahagia.
“Ineffable,” tulis Sarah ringkas namun penuh makna, sekali gus mengundang pelbagai reaksi positif daripada rakan artis dan peminat.
Ruangan komen dibanjiri ucapan tahniah serta doa agar keluarga kecil ini terus dilimpahi rahmat dan kebahagiaan.
Kehadiran si kecil ini seakan menambah seri rumah tangga Sarah yang sebelum ini jarang berkongsi sisi peribadi secara terbuka.
Bagi yang mengikuti perjalanan hidupnya, Sarah sebelum ini mendedahkan telah selamat mendirikan rumah tangga pada Ogos 2024 bersama seorang jejaka warga Amerika Syarikat.
Meski tidak banyak berkongsi mengenai butiran peribadi suaminya, jelas kelihatan kebahagiaan rumah tangga itu terpancar dalam setiap perkongsian di media sosial. Beberapa bulan selepas itu, pada Februari lalu, Sarah sekali lagi membuat kejutan apabila berkongsi gambar kit ujian kehamilan.
Pengumuman tersebut mengesahkan dirinya bakal menimang cahaya mata sulung, sekali gus mencetuskan rasa teruja dalam kalangan peminat yang sudah lama menantikan berita bahagia itu.
Untuk rekod, sebelum ini Sarah pernah mendirikan rumah tangga bersama pelukis kacukan Filipina-Amerika, Otto Gillen, pada 3 November 2019.
Namun, hubungan mereka tidak bertahan lama apabila kedua-duanya memilih jalan berpisah. Walaupun tidak mendedahkan secara jelas tarikh perceraian, Sarah tampil tabah dan terus bangkit mencari sinar baharu dalam hidup.
Popular menerusi drama hit Pujaan Hati Kanda, Sarah membuat keputusan mengejutkan pada tahun 2022 apabila mengumumkan pengunduran dirinya daripada dunia seni. Keputusan itu dibuat bagi memberi ruang untuk dirinya berhijrah dan membina kehidupan baharu di Amerika Syarikat.
Tidak sekadar berhijrah, Sarah turut memilih jalan berbeza apabila menyertai pasukan beruniform, Tentera Udara Amerika Syarikat (US Air Force). Langkah berani itu nyata mencuri perhatian ramai, apatah lagi sebelum ini beliau dikenali sebagai seorang pelakon dan model di Malaysia.
Namun, Sarah membuktikan bahawa perubahan besar dalam hidup bukanlah halangan, malah menjadi pembakar semangat untuk dirinya terus maju. Kini, dengan kehadiran bayi pertama, kehidupannya dilihat semakin lengkap.
Buat peminat, kehadiran zuriat pertama ini bukan sahaja membawa sinar baharu buat Sarah dan suami, malah menjadi bukti perjalanan hidupnya yang penuh warna. Daripada dunia seni ke dunia tentera, daripada episod perpisahan kepada kebahagiaan rumah tangga, Sarah terus memberi inspirasi bahawa setiap insan berhak meraih bahagia dengan cara tersendiri.
Dengan doa dan sokongan berterusan daripada keluarga, rakan, serta para peminat, semoga Sarah Hildebrand melalui fasa bergelar ibu dengan penuh kekuatan, kasih sayang, dan keberkatan.
SinarPlus mendoakan agar Sarah, suami dan bayi kecil mereka sentiasa dilindungi ALLAH serta dipermudahkan segala urusan dalam meniti perjalanan baharu sebagai sebuah keluarga.