KES pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor, Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin terus meruntun hati masyarakat.
Keadaan fizikal jenazah yang diterima keluarga dilihat tidak sepadan dengan alasan awal yang diterima iaitu akibat sawan sekali gus menimbulkan keraguan punca kematian jurusan Ijazah Sarjana Muda Keselamatan Siber itu.
Dalam perkembangan terkini, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan ibu Allahyarham Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, untuk melakukan penggalian semula kubur dan bedah siasat kedua dalam tempoh 14 hari.
Hakim Datuk Bhupindar Singh memutuskan Ketua Polis Negara akan menyelia proses penggalian di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu.
Mahkamah turut mengarahkan seorang pakar patologi forensik Hospital Kuala Lumpur melakukan bedah siasat kedua terhadap jasad Syamsul Haris, 22, dengan kehadiran Pakar Forensik, Datuk Seri Dr Bhupinder Singh.
Proses itu turut disertai peguam, Datuk Naran Singh yang mewakili pemohon atau wakil daripada firma guaman Tetuan Naran Singh & Co.
“Mahkamah mengeluarkan perintah agar pakar forensik yang menjalankan bedah siasat kedua membuat laporan dalam tempoh munasabah bermula tarikh autopsi dijalankan.
“Salinan laporan hendaklah diserahkan kepada peguam pemohon,” katanya.
Terdahulu, Ummu Haiman muncul menerusi audio siar Mingguan Wanita meluahkan harapan menuntut keadilan buat permata hatinya.
Dia percaya Syamsul Haris bukan meninggal dunia secara semula jadi kerana sawan sebaliknya disebabkan penganiayaan atau jenayah.
"Saya nak keadilan. Saya seorang ibu, saya perlu bela kematian anak saya itu sebab memang saya yakin anak saya bukan meninggal kerana sawan.
"Saya yakin anak saya telah dianiaya, dipukul, dibelasah, dicederakan sehingga menyebabkan kematian.
"Sehingga hilang nyawa. Ada sesuatu yang mereka cuba sorokkan, cuba selindung daripada saya, umum lah dan ahli keluarga, daripada umum.
"Saya rasa saya tak boleh nak berdiam diri tanpa membela anak saya. Saya rasa saya sangat berdosa sebab saya dah tahu, saya dah faham, saya dah nampak ada ciri-ciri penganiayaan dan jenayah di situ," tuturnya.
Sebelum ini, Ummu Haiman memaklumkan beliau tidak dibenarkan melihat keseluruhan jenazah atau mengambil gambar ketika di hospital berkenaan, sebelum membuat permintaan agar urusan bedah siasat dilakukan di Hospital Sultan Ismail kerana mahu ia dilakukan oleh pakar forensik.
Menurutnya, selepas selesai bedah siasat, laporan yang diterima masih tergantung dengan alasan menunggu keputusan makmal kimia, yang dijangka mengambil masa tiga bulan.
Satu laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang pada Khamis bagi meminta siasatan lanjut dijalankan terhadap kematian anaknya itu.
13 Ogos lalu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata tiada unsur penderaan atau kelakuan berbentuk kekerasan yang menjurus kepada kematian Syamsul Haris.
Keputusan itu diperoleh jawatankuasa siasatan yang membabitkan beberapa kementerian iaitu Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Khaled turut menjelaskan Allahyarham yang memulakan latihan pada 27 Julai lalu terlibat dalam latihan inokulasi tempur yang memerlukannya merangkak di bawah tembakan peluru hidup bersama lebih 30 peserta lain.
Allahyarham kemudian menunjukkan tanda-tanda keletihan dan kemudiannya meninggal dunia.
Menurutnya, keterangan saksi termasuk jurulatih mengesahkan semua latihan mengikut sepenuhnya garis panduan dan prosedur yang ditetapkan.
Sumber: Sinar Harian, Mingguan Wanita, Berita RTM