'Bawa balik jenazah’- Anak maut latihan PALAPES, ibu dakwa kecederaan tak sepadan sawan, dedah hidung & mata berdarah, tubuh lebam
PILUNYA hati ibu!
Hantaran itu dimuat naik Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, mengenai pemergian anaknya, pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor yang meninggal dunia ketika menjalani latihan di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada), Ulu Tiram pada 28 Julai lalu, menyentuh banyak hati.
Menerusi video tersebut yang berdurasi 24 saat itu, kelihatan Syamsul Haris Shamsudin, 22, ceria menempuh hari pertama di kampus pada 22 September tahun lalu. Berikut adalah perbualan yang menyentuh hati.
"Ok Haris, good luck. Tahniah.
"Jaga diri. Semoga berjaya. Ama hanya nak dengar cerita success story sahaja.
Haris pula dengan gembira membalas ucapan ibu. "Amin. Boleh boleh. Insya-ALLAH. Okay, bye."
Ummu Haiman sempat meluahkan cita-cita melihat anaknya menceburi bidang keselamatan siber.
"Ini bakal pak guard dunia cyber lah kan? Pak guard cyber okey. Aamin aamin aamin. Okey, bye," kongsinya.
Sementara itu, menurut wanita itu lagi, segalanya menjadi kenangan selepas dia terpaksa menerima kenyataan pahit hanya membawa pulang anak lelakinya dalam keadaan tidak bernyawa.
"Hantar Syamsul Haris ke UTM Skudai untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Cyber Security tapi bawa dia balik sebagai jenazah," kongsinya pada kapsyen.
Warga maya yang tersayat hati mengikuti kisah pemergian Syamsul Haris mendoakan agar kematian pemuda itu terbela.
Kecederaan tidak sepadan alasan sawan
Terdahulu, Ummu Haiman mendakwa kematian anaknya, Syamsul Haris Shamsuddin, 22, menimbulkan pelbagai persoalan berikutan keadaan fizikal mangsa yang dilihat tidak sepadan dengan alasan awal yang diterima iaitu akibat sawan.
Memetik Sinar Harian, ibu berkenaan mendakwa keadaan fizikal anak sulung daripada tiga beradik itu sangat menyedihkan kerana terdapat pendarahan di beberapa bahagian badan, sekali gus menimbulkan keraguan.
“Saya diberitahu anak saya meninggal dunia pada 28 Julai jam 4.33 petang oleh seorang pensyarah melalui panggilan telefon. Sebab kematian yang dimaklumkan adalah kerana mengalami sawan selepas menjalani latihan menembak.
“Namun apabila saya melihat jenazah anak saya di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi, keadaannya sangat menyayat hati. Terdapat banyak darah keluar dari hidung, leher dan mata. Tubuhnya juga kelihatan lebam serta dadanya dipenuhi kesan seakan darah beku,” katanya dalam sidang media di pejabat peguam Datuk Naran Singh & Co.
Gambar terakhir pakaian seragam sebelum meninggal
Ummu Haiman memaklumkan beliau tidak dibenarkan melihat keseluruhan jenazah atau mengambil gambar ketika di hospital berkenaan, sebelum membuat permintaan agar urusan bedah siasat dilakukan di Hospital Sultan Ismail kerana mahu ia dilakukan oleh pakar forensik.
Menurutnya, selepas selesai bedah siasat, laporan yang diterima masih tergantung dengan alasan menunggu keputusan makmal kimia, yang dijangka mengambil masa tiga bulan.
Katanya, kali terakhir mereka berhubung adalah malam sebelum kejadian, apabila anaknya sempat menghantar mesej WhatsApp memaklumkan dia berjaya menjalani latihan menembak dan kelihatan sangat ceria serta bersemangat.
“Dia cakap, ‘Ma jaga diri, saya dah nak serah telefon’, dan selepas itu tiada lagi mesej daripada dia. Dia juga ada hantar gambar berpakaian seragam sambil senyum.
“Keesokannya saya diberitahu dia telah meninggal dunia,” katanya sambil menahan sebak.
Ummu Haiman berkata, satu laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang pada Khamis bagi meminta siasatan lanjut dijalankan terhadap kematian anaknya itu.
“Saya tidak menuduh sesiapa, cuma saya mahukan kebenaran. Saya minta polis siasat secara menyeluruh dan temu bual semua pelatih yang ada bersama anak saya semasa perkhemahan itu.
“Dia baru masuk universiti tahun lalu dan ambil jurusan Ijazah Sarjana Muda Keselamatan Siber. Baru tiga hari hadiri latihan, saya sudah terima jenazahnya. Saya hantar anak dalam keadaan sihat, tapi terima dia dalam keadaan yang menyedihkan,” katanya yang tinggal di Semenyih, Selangor.
'Siasatan menyeluruh diperlukan' - Peguam
Sementara itu, peguam Datuk Naran Singh berkata, keluarga hanya mahu mendapatkan jawapan yang tepat dan siasatan menyeluruh perlu dilakukan bagi memberi keadilan kepada si mati.
“Setiap ibu bapa yang hantar anak ke universiti pastinya mengharapkan anak pulang dalam keadaan selamat. Tetapi dalam kes ini, anak baru menyertai latihan tiga hari, tiba-tiba sudah meninggal dunia,” katanya.
Naran turut menggesa agar laporan bedah siasat dikeluarkan dengan segera memandangkan kematian membabitkan pelajar muda berusia 22 tahun yang sedang mengikuti latihan rasmi.
'Meracau dan hilang kawalan' - Polis
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, siasatan tersebut termasuk merakam percakapan saksi-saksi dan pegawai perubatan yang terlibat bagi mengenal pasti punca sebenar insiden berkenaan.
Jelas Yusof, kematian Syamsul Haris diterima berkenaan pada jam 5.33 petang Isnin lalu.
“Siasatan awal polis mendapati pada jam 2.30 petang, Isnin, mangsa yang berusia 22 tahun tiba-tiba meracau dan hilang kawalan ketika menjalani Latihan Inokulasi Tempur di Lapang Sasar Inokulasi Tempur, Pulada.
“Mangsa dibawa ke Hospital Kota Tinggi oleh Pegawai Perubatan (RSAT), namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Zon Kecemasan hospital berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk tindakan lanjut mengikut prosedur siasatan.
Dalam pada itu, Yusof berkata, hasil bedah siasat mendapati tiada kecederaan berunsur jenayah dikesan dan punca kematian masih menunggu keputusan makmal.
“Kes diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR) dan disiasat oleh Ketua Polis Balai Kota Tinggi, Asisten Superintenden Abd Rahim Idris.
Justeru, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi sementara menunggu hasil siasatan lanjut,
UTM mahu siasatan menyeluruh
Dalam pada itu, UTM dalam satu kenyataan rasmi pihaknya merakamkan rasa dukacita yang mendalam atas pemergian Allahyarham dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan menyeluruh dan akan memberikan kerjasama penuh sepanjang proses siasatan.
“Pihak universiti juga telah menghubungi waris Allahyarham dan bersedia menyalurkan segala bentuk bantuan serta sokongan yang diperlukan.
“UTM akan terus memastikan keselamatan dan kebajikan pelajar sentiasa diutamakan dan sekali lagi mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham serta mendoakan agar roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman,” menurut kenyataan itu lagi.
Jawatankuasa siasatan ditubuh
Selain itu, Kementerian Pertahanan menubuhkan jawatankuasa siasatan bagi menyiasat kematian Syamsul Haris.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, selain kementeriannya jawatankuasa berkenaan disertai Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
"Saya difahamkan bedah siasat sudah pun dibuat. Tetapi kita belum dapat keputusan namun di peringkat ATM kita sudah tubuhkan satu jawatankuasa untuk siasat mengenai punca dan sebab kematian mangsa," katanya.
Apapun yang berlaku, takziah buat keluarga Syamsul Haris Syamsuddin. Sama-sama kita doakan moga kematian Allahyarham terbela.
Sumber: Sinar Harian, TikTok
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
