SELESAI menguruskan pengebumian bapanya, penyanyi Anuar Zain tidak henti-henti mengucapkan syukur segalanya dipermudahkan.
Kata Anuar, proses pengurusan jenazah arwah daripada pengesahan kematian sehinggalah proses pengebumian selesai dengan cepat.
"Orang kata jika urusan jenazah seseorang manusia itu dipermudahkan, dia adalah orang yang sangat dikasihi ALLAH dan orang ramai.
"Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan terima kasih kepada yang mendoakan kesihatan bapa saya selama ini," tuturnya.
Menerusi satu temu ramah bersama media, Anuar atau nama sebenarnya Shahrul Anuar Zain juga mendedahkan bapanya menghidap kanser prostat.
"Ayah saya meninggal di rumah dan paramedik datang mengesahkannya.
"Arwah menghidap kanser prostat yang baharu diketahui pada Disember tahun lepas. Ia sangat pantas merebak. Arwah bapa perlu jalani rawatan prostat tetapi tidak ada tanda-tanda kanser.
Anuar yang merupakan anak kedua daripada lima adik-beradik juga bersyukur diberi kesempatan berbakti kepada arwah sehingga ke akhir hayat.
"Subhanallah, keluarga menerima pemergian bapa dengan tenang dan kami berpeluang menjaganya.
"Kakak, adik, semua bekerjasama. Arwah mengeluh mengatakan menyusahkan anak-anak walhal langsung tidak," tutur Anwar.
Kongsi Anuar, arwah yang dikenali dengan panggilan Pak Zain terdahulu mengalami cirit-birit.
Terdahulu, SinarPlus melaporkan Allahyarham Zain Abdullah, meninggal dunia pada usia 87 tahun di kediamannya di Subang Permai, Selangor, kira-kira jam 3 petang, Selasa.
Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Elmina, Shah Alam.
Sumber: Instagram OhBulan