PELAKON Sophia Albarakbah menjadi perhatian warganet selepas meluangkan masa menziarahi pusara remaja, Allahyarham Zara Qairina Mahathir di Sipitang, Sabah pada Jumaat.
Menzahirkan kesedihan atas tragedi yang menimpa Allahyarham, pemilik nama Sharifah Sophia Binti Syed Abdul Rahman, 32, itu menyentuh hati warga maya.
"Al-Fatihah. Pada hari Jumaat yang penuh berkat ini, Sophia diberi rezeki untuk menziarah kubur arwah Zara Qairina.
"Semoga segala urusan dipermudahkan untuk keluarga arwah," titipnya.
Dalam masa sama, Sophia menyatakan ketegasan menentang pembuli, dia mengungkapkan empati dan menyeru keadilan untuk mereka yang teraniaya.
"Semoga ada keadilan. Saya berdiri menentang pembuli#justiceforzara #stopbullying #solidaritiforzara #IStandAgainstBullying," kongsinya.
Kehadiran Sophia ternyata menyentuh hati ramai netizen terutama apabila pelakon wanita itu dilihat menyiram kubur Allahyarham dengan ditemani beberapa selebriti lain termasuk pelakon Riezman Khuzaimi dan pengarah serta penerbit, Datuk Dr Ahmad Idham.
Warganet terharu dengan tindakan Sophia dan memuji penampilannya yang sopan.
"Yang ini saya respect awak, Sophia. Dari jauh, awak sanggup turun ke kubur arwah. Artis-artis perempuan lain belum nampak lagi."
"Seribu orang boleh bercakap buruk tentang awak tapi seribu kebaikan yang awak lakukan tidak akan terlindung. Alhamdulillah, love you,"
"Terbaik Sophia datang dari jauh melawat kubur adik Zara Qairina. Pakaian pun sopan dan cantik."
Terdahulu, Zara, ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolah pada malam 16 Julai 2025 sekitar pukul 4 pagi.
Zara dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth I di Kota Kinabalu dan disahkan meninggal dunia pada keesokan harinya, 17 Julai 2025.
Tragedi tersebut mencetuskan gerakan solidariti #JusticeForZara, apabila timbul dakwaan bahawa arwah telah menjadi mangsa buli sebelum peristiwa yang menyayat hati itu berlaku.
Sumber: TikTok