RAMAI wanita moden hari ini mampu berdiri atas kaki sendiri, malah ada yang rezekinya mencurah-curah selepas berumah tangga dan punya anak.
Namun, di sebalik kesibukan mengejar kerjaya serta peluang yang datang bertalu-talu, kadangkala tanpa sedar hubungan dengan pasangan boleh terguris.
Itulah yang diakui sendiri oleh pelakon jelita, Datin Atikah Suhaime apabila mendedahkan dia ditegur oleh suaminya, Datuk Lokman Teh, kerana perubahan sikap yang sedikit kasar sejak kebelakangan ini.
“Alhamdulillah sejak ada anak, rezeki mengalir macam air. Saya dapat banyak kerja ulasan, jadi saya sangat sibuk,” katanya membuka cerita.
Menurut Atikah, kesibukan bekerja ditambah pula dengan tanggungjawab sebagai ibu membuatkan dirinya mudah hilang sabar.
Keadaan itu menyebabkan pertuturannya kadangkala menjadi kasar, sehingga menyinggung perasaan suami.
“Masa subuh tadi saya menggantikan lampin anak tetapi saya rasa terganggu bila tengok suami bermain telefon dan langsung tidak membantu.
"Saya terus terlepas cakap, ‘asyik tengok telefon sahaja, tolonglah sini… macamlah dapat satu juta bila tengok telefon.’
"Suami cakap, ‘sejak kebelakangan ini rezeki awak banyak tetapi asyik bercakap kurang ajar dengan saya,’” ujarnya jujur.
Wanita berusia 34 tahun itu mengakui teguran tersebut membuka matanya dan tanpa berlengah dia memohon maaf kepada suami tercinta.
Atikah berkata, kekhilafan itu berpunca daripada kepenatan bekerja. Tambahan pula, dirinya kini aktif membuat sesi siaran langsung di TikTok selain menguruskan anak kecil yang baru berusia beberapa bulan.
“Betul, kebelakangan ini saya memang sangat kurang ajar dengan suami.
"Mungkin sebab penat dan banyak buat siaran langsung di TikTok, jadi bila suami buat silap sedikit saya terus melenting tetapi dia tetap sabar.
"Saya rasa bersalah dan minta maaf kepada suami. Saya sangat bertuah, walaupun saya marah-marah tetapi suami masih sayang dan bawa saya pergi makan Omakase,” jelasnya.
Di sebalik kisah peribadinya itu, Atikah turut menitipkan pesanan bermakna buat kaum wanita yang mungkin sedang melalui situasi sama. Katanya,
"Kadang-kadang sebagai seorang perempuan, kalau kita dapat cari duit sendiri, kita akan rasa kita terlalu hebat.
"Jangan lupa, kalau bukan sebab izin ALLAH tidak mungkin kita boleh dapat banyak rezeki. Jangan sombong dengan suami, walaupun kita bekerja," ungkapnya.
Sekadar info, Atikah atau nama sebenarnya Nur Atikah Mohd Suhaime mendirikan rumah tangga dengan Datuk Lokman pada 21 Januari tahun lalu.
Pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Lyla Mulan Teh, yang dilahirkan pada 8 Mac lalu. Rezeki, cinta dan cabaran datang seiring dalam kehidupan rumah tangga.
Namun seperti yang ditunjukkan oleh Atikah, kunci utama adalah kesedaran, kerendahan hati dan saling menghargai antara pasangan.