PENYANYI Amira Othman mengejutkan para peminat selepas mengumumkan bakal berkahwin dengan pelakon dan usahawan, Fattah Amin.
Menerusi satu temu ramah, pelantun lagu Dalam Sujudku itu mendedahkan, persiapan majlis pernikahan mereka berdua masih sedang berjalan.
Memohon doa agar segalanya dipermudahkan, pemilik nama Nadia Amira Othman itu juga mengakui mungkin doa orang ramai menjadi asbab dia dan Fattah bertemu jodoh.
"Alhamdulillah ketika ini saya masih melakukan persiapan, hopefully semua berjalan lancar.
"Mohon doa daripada kalian agar semua baik-baik. Ini juga mungkin asbab daripada doa-doa kalian, saya harap semuanya berjalan dengan lancar.
"Doakan yang terbaik untuk kami," tutur Amira.
Menghitung hari untuk bergelar isteri, bekas peserta Akademi Fantasia Musim ke-10 itu juga menyerahkan segalanya kepada ALLAH dan bertawakal.
Walau sedar kemungkinan bakal berdepan cabaran rumah tangga, Amira tetap bertekad menjadi versi terbaik dirinya apabila melangkah ke alam perkahwinan.
"Saya rasa tidak adil untuk meletakkan trauma sebagai satu halangan untuk ke fasa seterusnya.
"Kita perlu percaya kepada takdir kerana ALLAH adalah sebaik-baik perancang. Urusan 'timing' pun DIA yang susun.
"Untuk melangkah ke fasa seterusnya saya perlu bertawakal dan sudah tentu saya perlu menjadi yang terbaik.
"Saya ingin menjadi versi terbaik diri saya supaya semuanya baik-baik sahaja. Saya percaya pasti akan ada ujian, turun dan naik tetapi perkahwinan itu bermatlamatkan untuk (bersama-sama) ke syurga," kongsinya.
Terdahulu, Fattah Amin membuat kejutan romantis muncul dari belakang pentas majlis perasmian muzik Amira dan Irfan Haris, Rasa dan Takdir.
Detik paling menyentuh hati adalah apabila Irfan menyerahkan replika ‘kunci’ kepada Fattah, yang seterusnya diserahkan kepada Amira sebagai simbolik mengikat janji dan harapan untuk hidup bersama sebagai pasangan halal.
Fattah dengan penuh emosi berkata,"Daripada rakan sekerja ke rakan serumah."
Pasangan tersebut mengumumkan bahawa mereka akan berkahwin pada 14 September 2025, bersempena dengan ulang tahun kelahiran Fattah yang ke-35.
Majlis pernikahan akan berlangsung di sebuah hotel di Johor Bahru.
Sumber: TikTok Era.je