DI mata peminat, Amira Othman mungkin hanya dikenali sebagai penyanyi bersuara merdu dan berbakat besar. Tetapi di mata Sissy Iman, sahabatnya itu lebih daripada sekadar selebriti.
Pemilik nama sebenar, Nadia Amira Othman merupakan seorang wanita yang tidak lokek berkongsi rezeki, sentiasa teratur, malah menjaga solat walau sesibuk mana sekalipun.
Dalam satu temu bual eksklusif bersama SinarPlus, Sissy mendedahkan sisi peribadi bakal suri hati Fattah Amin yang mungkin tidak diketahui umum. Baginya, Amira ialah insan yang benar-benar punya hati bersih dan jiwa pemurah.
“Amira adalah seorang individu yang Masya- ALLAH baik. Sangat baik. Jadi antara kebaikan yang mungkin orang tak tahu tentang Amira ni, dia sangat pemurah,” kata Sissy membuka cerita.
Sifat pemurah itu jelas terlihat ketika mereka berada di set penggambaran. Walaupun makanan sudah tersedia, Amira tetap akan menambah pesanan untuk memastikan semua orang kenyang.
“Kita dekat set sebenarnya tiba-tiba dia order makan, tiba-tiba dia order minum untuk semua orang.
"Jumlah tu yang macam kita orang ni boleh kembung perut lah. Memang tak lapar dekat set tu sebenarnya. Itu peribadi Amira, sangat pemurah,” kongsinya sambil tersenyum.
SISI SAHABAT
Selain pemurah, Amira juga seorang yang sentiasa bersedia dalam apa jua keadaan. Sissy menceritakan pengalaman mereka mengembara ke luar negara bersama-sama, yang membuatkan dirinya semakin mengenali sisi sahabat baiknya itu.
“Orang kata kalau kita nak kenal seseorang tu, kita kena travel dengan orang tu. Jadi Sisi memang travel, duduk sekali dengan dia.
"Dalam beg dia tu macam-macam, segala jenis ubat ada. Bila apa-apalah kita pening kepala ke, tiba-tiba ada je – panadol, minyak angin. Macam-macam lah,” cerita Sissy lagi.
Namun, apa yang paling mencuri hati pelantun lagu Mungkin Kamu adalah cara Amira menjaga kewajipan sebagai seorang Muslimah.
Biarpun sibuk dengan jadual penggambaran di luar negara, solat tetap menjadi perkara utama buatnya.
“Amira ni dia memang sangat menjaga solat dia. Bila kita shooting dekat luar negara, jadual sangat pack. Tapi dia betul-betul jaga macam mana dia jaga wuduk dia,” jelasnya.
TEMPIAS KEBAIKAN
Amira juga sanggup mengawal pengambilan air semata-mata mahu memastikan wuduknya terjaga.
“Dia boleh betul-betul tahan tak pergi toilet, kurangkan minum air untuk jaga wuduk. Itu yang buat Sisi rasa kagum sangat,” tambahnya lagi.
Bagi Sissy, berada di sisi Amira seolah-olah mendapat tempias kebaikan. Sifat pemurah, disiplin menjaga agama dan sikap ambil berat menjadikan Amira seorang sahabat yang benar-benar bernilai.
“Bila kita berjalan dengan dia tu, sifat-sifat yang baik tu kita pun sama sekali dapat yang baik tu kan. Jadi happy lah untuk dia,” ujar Sissy menutup bicara.
Sisi peribadi yang dikongsikan ini membuktikan bahawa Amira Othman bukan sekadar bersinar di pentas hiburan, tetapi juga dalam kehidupan harian.
Keindahan akhlak dan jiwa pemurahnya menjadikan Amira seorang insan yang layak dijadikan inspirasi.