MELIHAT anak membesar di depan mata adalah satu anugerah yang penuh makna. Bagi pelakon dan pengarah terkenal, Yusry Abdul Halim, perjalanan sebagai seorang ayah terasa sekejap sahaja.
Dalam diam, anak sulungnya, Yahaira Leanne, kini sudah menginjak usia 10 tahun.
Menerusi luahan hatinya di Instagram, Yusry berkongsi rasa tidak percaya bahawa puteri kesayangannya sudah mencapai usia dua angka. Bagi dirinya, Yahaira tetap bayi kecil yang pernah ditatang penuh kasih sejak hari pertama lahir ke dunia.
Menurut Yusry, momen bergelar ayah benar-benar mengubah perspektif hidupnya. Dalam hati, dia masih melihat Yahaira sebagai bayi kecil yang pernah dipeluk erat sejak hari pertama kelahirannya.
Dalam satu perkongsian di Instagram, Yusry mengimbas semula kenangan pertama menyaksikan puteri kesayangan melangkah dan menyebut kata pertamanya, 'daddy.'
“My daughter turns 10 today. Cepat betul dah double digits. Still see her as my baby. Macam baru lagi her first steps, her first word (daddy of coz). Took time off from shoot today to have a family lunch,” tulisnya penuh makna.
Biarpun sibuk di set penggambaran, Yusry tetap meluangkan masa berhenti seketika demi meraikan hari istimewa itu bersama keluarga. Mereka memilih untuk menikmati makan tengah hari bersama, penuh dengan gelak tawa serta kasih sayang.
UCAPAN MENYENTUH HATI
Lebih manis, Yahaira mempunyai permintaan tersendiri, semua ahli keluarga perlu mengenakan warna merah jambu, iaitu rona kegemarannya.
Namun, sebagai 'birthday girl’, dia memilih tidak memakai warna tersebut supaya lebih menyerlah di mata semua.
“Birthday girl requested everyone to wear her favourite colour; pink. Of coz she did NOT wear pink, bcos she’s the birthday girl (pandai ye, nak standout),” seloroh Yusry.
Menutup perkongsiannya, Yusry menitipkan ucapan yang cukup menyentuh hati – harapan agar anak gadis kecilnya itu tidak cepat membesar, selain meluahkan rasa kasih yang tiada batas.
“Yong,Daddy loves you babygirl… don’t grow up too fast k,” ungkapnya lagi.
Tidak ketinggalan, isterinya yang juga pelakon dan personaliti terkenal, Lisa Surihani, turut menzahirkan penghargaan buat semua pihak yang mendoakan kebaikan serta kesejahteraan puteri sulung mereka.
Momen ringkas tetapi penuh makna ini menjadi bukti bahawa kasih sayang keluarga adalah hadiah paling bernilai, lebih-lebih lagi dalam membesarkan anak-anak yang bakal menjadi generasi masa depan.
Untuk rekod, pasangan sama cantik sama padan ini mendirikan rumah tangga pada 23 Februari 2012. Mereka kini dikurniakan tiga cahaya mata: Yahaira Leanne, Yusof Leonne dan Yunos Laith.