SAAT bergelar ibu bapa, tidak semua hari dilalui dengan senyuman. Ada masa, dugaan kecil hadir sebagai peringatan besar.
Begitulah pengalaman dilalui pelakon dan usahawan, Datin Atikah Suhaime serta suaminya, Datuk Lokman Teh, apabila anak mereka, Lyla Mulan Teh yang baru enam bulan terjatuh daripada buai elektrik.
Menerusi ciapan di aplikasi Threads, Lokman menceritakan kejadian itu yang menurutnya cukup menggetarkan jiwa seorang bapa.
Katanya, buai elektrik yang digunakan tiba-tiba jatuh ketika anaknya sedang tidur, menyebabkan si kecil terhempas bersama mesin buai yang terkena pada muka.
"Nasib baik di bawahnya ada selimut dan bantal, jadi bila dia jatuh terlentang masih selamat.
"Cuma mesin buai itu jatuh terkena muka dia. Hati saya luluh melihat wajahnya lebam. Kami terus bawa ke hospital untuk diperiksa dan Alhamdulillah, impaknya tidaklah terlalu teruk,” kongsinya.
Menurut Lokman, meskipun insiden itu cukup mencemaskan, dia bersyukur kerana kecederaan anak hanya ringan dan tidak mengancam nyawa.
Namun, rasa sebak dan bersalah sebagai ibu bapa tetap sukar ditenangkan.
“Sebagai ibu bapa, memang perit rasanya melihat sesuatu yang tak mampu kami elakkan. Tapi dengan izin Alalh SWT, ia hanya kecederaan ringan,” tambahnya lagi.
Dalam masa yang sama, Lokman mendedahkan isteri kesayangannya itu masih belum mampu menahan tangis kerana menyalahkan dirinya sendiri.
“Saya dah cuba tenangkan Atikah dan maklumkan yang dia tak gagal sebagai seorang ibu.
"Saya juga katakan ini bukan salah dia tetapi dia tidak berhenti-henti menangis,” jelasnya.
Sebelum itu, Atikah sendiri memuat naik perkongsian di Instagram Story mengenai wajah anak perempuannya yang luka di bahagian hidung dan kening akibat terjatuh daripada buai.
Dia mengakui insiden itu berpunca daripada kesilapannya sendiri yang tersalah memasang buai.
"Saya salah pasang, kemudian buai jatuh. Saya dah guna buai ini untuk tiga bulan. Ini memang salah saya. Saya gagal sebagai seorang ibu,” luahnya penuh rasa terkilan.
Meskipun dihimpit rasa bersalah, Atikah tetap menitipkan nasihat kepada para ibu bapa di luar sana agar lebih berhati-hati dan sentiasa memberikan perhatian terhadap anak kecil.
“Mami (Atikah) minta maaf. Tak kira apa saja karenah anak, sentiasa pegang dia.
"Jagalah bayi anda, mereka hanya membesar sekali seumur hidup,” katanya penuh sebak.
Insiden ini bukan sahaja membuka mata pasangan ini, malah turut menyentuh hati ramai yang membaca perkongsian mereka.
Warganet rata-rata mendoakan agar Lyla Mulan cepat sembuh, di samping memberikan kata-kata semangat buat Atikah agar tidak terus menyalahkan diri sendiri.