KHABAR gembira datang tanpa dirancang namun penuh makna buat pelakon dan penyampai radio, Neera Azizi. Tidak menyangka dirinya kini sedang hamil anak pertama, Neera menyifatkan rezeki itu sebagai aturan ALLAH yang paling indah dalam perjalanan hidupnya selepas bergelar isteri kepada mutawif, Muhammad Hafizi Mohd Noor.
“Jujurnya memang tak plan pun, tapi bila tahu saya mengandung, rasa gembira tu tak dapat digambarkan.
"Alhamdulillah, rezeki datang awal… bukan semua pasangan diberi peluang secepat ini,” katanya.
Mengharungi detik sebagai bakal ibu, Neera mengakui rutin hidupnya kini berubah sepenuhnya.
Jika dulu sibuk keluar bekerja atau melepak hingga malam, kini dia lebih selesa berada di rumah. Katanya, tubuh terasa cepat letih dan tekak pula makin cerewet dalam memilih makanan.
“Ritual sekarang rasanya cepat tidur. Dan yang terbaru, saya dah tak boleh makan makanan luar sebab tekak rasa mual.
"Jadi saya masak sendiri je di rumah,” ujar Neera sambil ketawa kecil ketika ditemu bual penulis menerusi alam maya.
Walaupun sibuk menyesuaikan diri dengan perubahan fizikal dan emosi, pemilik nama sebenar, Nur Aqeelah Azizi tetap mengekalkan personaliti ceria yang sinonim dengannya.
Katanya, rahsia utama untuk kekal positif selepas berkahwin ialah saling menyokong antara pasangan.
“Untuk kekalkan personaliti ceria, pasangan kita kena main peranan. Kalau suami boleh terima personaliti kita sebelum kahwin, maknanya selepas kahwin pun dia kena terima seadanya.
"Sebab kalau suami ceria, automatik isteri pun akan ceria walaupun masing-masing penat bekerja,” katanya jujur.
Saat ditanya tentang momen yang paling dinantikannya kini, wajah Neera berubah lembut dan matanya bersinar penuh harapan.
“Saya sangat-sangat menantikan momen bila anak dah mula bercakap dan sebut ‘mummy’.
"Kalau boleh, apa yang saya tak dapat semasa kecil, saya nak beri semuanya untuk anak saya nanti, insya-ALLAH,” katanya lagi.
Pelakon drama Kekasih Paksa Rela itu juga mengakui, kehidupannya kini lebih teratur dan matang.
HATI-HATI PLLIH WATAK
Dulu, dia bebas ke mana-mana tanpa had masa. Kini, walaupun suami tidak pernah menghalang, dia sendiri rasa bersalah jika keluar terlalu lama meninggalkan pasangan di rumah.
“Kalau dulu sebelum kahwin, saya bebas ke mana-mana sampai malam pun tak kisah.
Tapi sekarang, walaupun suami izinkan, saya sendiri rasa bersalah kalau keluar lama-lama tinggal dia di rumah,” luahnya.
Dalam soal kerjaya pula, dia masih aktif di dunia seni namun kini lebih berhati-hati dalam pemilihan watak.
Dengan status suaminya, sebagai seorang mutawif, dia mengambil kira sensitiviti dan batas tertentu.
“Dengan status suami, memang saya kena jaga batas. Tapi itu tak bermakna saya berhenti berlakon.
"Cuma sekarang saya akan pilih watak yang kurang bersentuhan dan lebih sesuai dengan imej saya,” jelasnya.
KEKAL RELEVAN
Selain berlakon, Neera kini mengembangkan karier sebagai penyampai radio di RAKITA.FM, sebuah stesen radio yang menampilkan muzik daripada dunia indieground.
Katanya, walaupun cabang ini tidak sepopular arus perdana, ruang untuk terus relevan tetap luas.
“Saya suka suasana di RAKITA sebab ia beri ruang untuk saya jadi diri sendiri.
"Tak ramai pun dalam dunia radio indieground ni, jadi untuk kekal relevan tu tak susah,” katanya.
Berkongsi pandangan tentang kehidupan selepas berkahwin, Neera menitipkan nasihat buat wanita muda agar tidak membandingkan kehidupan lama dengan fasa baru sebagai isteri.
“Jangan samakan kehidupan sebelum dan selepas berkahwin. Ada perkara yang kita biasa buat dulu mungkin tak sesuai lagi selepas berumah tangga.
"Apa-apa pun, kena ada tolak ansur dengan pasangan. Boleh fokus pada kerjaya, tapi jangan abaikan rumah tangga dan keluarga,” pesannya lembut tapi tegas.