SELEPAS mengambil keputusan untuk berhijrah dan mengenakan hijab sepenuhnya, penyanyi dan pengacara popular Elly Mazlein mengakui kehidupannya tidak lagi sama.
Ujian datang dalam pelbagai bentuk, termasuk kehilangan beberapa tawaran kerja yang sudah dirancang sebelum ini.
Menurut Elly atau nama penuhnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, bukan sekadar projek baharu yang tiba-tiba terhenti, malah ada juga kontrak lama yang dibatalkan tanpa sebarang amaran.
“Ada yang tanya macam mana dengan kerja selepas saya berhijrah. Ya, memang betul... ada kontrak tiba-tiba ditamatkan dan urusan yang dah dibincangkan pun ada yang ditarik balik.
"Macam-macam dugaan selepas kita berhijab, tapi saya percaya rezeki datang daripada ALLAH dalam pelbagai bentuk,” katanya dalam satu perkongsian di Instagram miliknya.
Diuji Tapi Tetap Tenang
Bagi wanita berusia 44 tahun yang sebelum ini dikenali sebagai antara personaliti paling ceria dan ‘sporting’ di pentas hiburan, perubahan imej itu bukan sekadar luaran.
Ia hadir bersama ujian yang benar-benar menguji kekuatan hati dan kebergantungan pada rezeki DIA.
"Kalau dah tertulis rezeki itu milik kita, tiada siapa boleh mengambilnya. Kalau bukan milik kita, memang bukan rezeki,” ujarnya.
Dalam nada penuh reda, pelantun lagu Sabarlah Hati itu menganggap kehilangan beberapa tawaran bukan penamat perjalanan seninya, sebaliknya permulaan kepada sesuatu yang lebih indah.
"Saya harapkan sokongan terus daripada semua. Untuk peminat, doakan yang baik-baik, begitu juga saya doakan buat kalian.
"Semoga kita dimurahkan rezeki, dipanjangkan umur, disayangi dan dikelilingi orang yang baik--baik.
"Itu juga satu bentuk rezeki. Buat sahaja, selebihnya serahkan pada ALLAH. Jangan takut untuk berubah. Insyaa-ALLAH, ada rezeki kita ,” katanya penuh keyakinan.
Video lama tular
Elly juga sempat memberikan penjelasan awal mengenai beberapa video lama yang mungkin kembali tular menunjukkan dirinya belum berhijab.
Saya tak mahu orang keliru, ingatkan saya buka tudung pula. Jadi saya beritahu awal-awal supaya semuanya jelas,” ujarnya.
Langkah Elly ini dipuji ramai peminat yang menghargai kejujurannya serta sikap matang menangani perubahan besar dalam hidup.
Walaupun rezeki di dunia seni sedikit perlahan, Elly tetap positif dan yakin setiap keputusan yang dibuat berlandaskan keikhlasan akan membawa berkat dalam jangka panjang.
Dari Populariti Ke Keberkatan
Perjalanan Elly Mazlein membuktikan bahawa penghijrahan bukan pengakhiran, tetapi permulaan kepada versi diri yang lebih tenang dan bermakna.
Daripada menjadi penghibur penuh gelak tawa, kini ibu kepada sepasang cahaya mata tersebut melangkah dengan gaya baharu, lebih sederhana, namun tetap mencuri perhatian dengan caranya yang jujur, spontan dan dekat di hati peminat.
Seperti katanya,
“Rezeki bukan hanya wang atau populariti, tapi juga ketenangan, kasih sayang dan keberkatan hidup. Itu yang saya cari sekarang.”