'Kita tak gagal, sedang belajar' – Ramai ucap terima kasih, luahan jujur Shila Amzah tentang baby blues sentuh hati ibu bapa baharu

Iklan

MENJADI ibu bapa buat kali pertama bukan sesuatu yang mudah, walau seribu kali orang berkata “semuanya akan okay.”

Hakikatnya, tidak ada siapa yang benar-benar bersedia untuk fasa ini, tempoh yang mana tidur menjadi mewah, emosi datang dalam gelombang besar, dan kasih sayang hadir bersama air mata yang tidak dijangka.

Iklan
Iklan

Kadang-kadang, detik paling sunyi itulah yang paling berat, apabila kegembiraan yang diharap tidak selalu seindah seperti yang dirancang. Itulah saat di mana baby blues mula perlahan-lahan menyelinap masuk ke jiwa.

"Tak mengapa kalau dalam satu nafas, ada kasih dan keliru yang datang bersama. 

Iklan

"Kamu sedang lakukan lebih baik daripada yang kamu sangka,” tulis Shila Amzah lagi..

Iklan

Penyanyi kesayangan ramai itu menitipkan ucapan tersebut dalam satu perkongsia menerusi laman Thread miliknya baru-baru ini.

FASA 'MAYAT HIDUP'

Dalam hantaran tersebut, isteri kesayangan Ubai atau nama penuhnya Muhammad Ubaidillah Mohd Zulkefli itu turut mengimbas kembali perjalanan getir selepas melahirkan anak.

"Sudah tentu termasuk papa mereka juga, tapi maaf, gambar Ubai tak boleh kongsi sebab terlalu aib,” tulisnya berseloroh, disertai emoji ketawa kecil.

Katanya lagi, waktu berpantang merupakan antara fasa paling sukar buat mereka berdua.

“Kami berdua macam ‘mayat hidup’, tambahan pula masa tu anak kami kena jaundice. 

"Saya menangis hampir setiap hari," dedahnya lagi.

Namun, di sebalik tangisan itu, Shila tidak lupa menitipkan pesanan penuh kasih buat semua ibu bapa di luar sana:

“Tapi kamu tahu apa? Untuk semua ibu dan ayah, kamu tidak keseorangan. 

"Marilah kita saling berlembut antara satu sama lain,"ungkap pemilik nama sebenar, Nurshahila Amir Amzah sambil menitipkan ungkap saya sayang kamu buat suaminya.

BE KIND TO YOURSELF

Perkongsian jujur penyanyi Patah Seribu itu mencuri perhatian ramai. Rata-rata netizen meluahkan rasa terharu dan berterima kasih kepada Shila kerana berani membuka topik yang sering disembunyikan ramai wanita, tekanan emosi selepas bersalin.

Antara komen yang ditinggalkan:

“Terima kasih Shila. Awak tak tahu betapa saya perlukan kata-kata ini sekarang.”

“Sebagai ibu baru, saya memang perlukan semangat macam ni. Terima kasih Kak Shila.”

“Saya sedang masuk trimester ketiga untuk anak ketiga, dengan dua anak kecil berumur lima dan tiga tahun. Semoga saya dan suami kuat nanti. Due saya bulan Disember.”

“Terima kasih Shila, saya tengah struggle sangat sekarang dengan emosi sendiri.”

Ada juga pesanan Shila yang sangat menyentuh hati ramai wanita:

Di sebalik senyum dan gambar sempurna di media sosial, ramai ibu baru sebenarnya sedang berperang dalam senyap. 

Perubahan hormon, kurang tidur, tekanan fizikal dan emosi, semuanya boleh menjadikan seseorang berasa tidak mencukupi, walhal mereka sedang berjuang sebaik mungkin.

Shila Amzah membuktikan bahawa kejujuran bukan kelemahan, sebaliknya kekuatan yang boleh menyembuhkan orang lain. 

Dalam dunia yang serba pantas ini, pesanan ringkas “be kind to yourself” (berlembutlah dengan diri sendiri) menjadi peringatan besar, bergelar ibu bapa bukan tentang kesempurnaan, tapi tentang belajar mencintai diri dan keluarga dalam keadaan yang serba tidak sempurna.